Search

Jauteh hargai pengorbanan wartawan, kenang persahabatan sejak 1995

November 6, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sudah lebih tiga dekad mengenali dan bekerjasama dengan pengamal media, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun mengakui hubungan yang terjalin bukan sekadar urusan kerja, sebaliknya turut menjadi kenangan bermakna sepanjang perkhidmatannya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Malah, beliau yang mula mengenali pengamal media sejak 1995 turut menghargai komitmen wartawan yang sanggup turun padang tanpa mengira masa, hujan atau panas demi menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

Jauteh berkata, hubungan baik antara polis dan media banyak membantu memastikan maklumat berkaitan keselamatan, pencegahan jenayah serta isu semasa dapat disampaikan dengan lebih jelas kepada orang ramai.

“Kadang-kadang kita melihat wartawan bekerja dalam keadaan hujan dan panas, tetapi mereka tetap menjalankan tanggungjawab untuk mendapatkan berita.

“Sumbangan dan kerjasama yang diberikan selama ini amat saya hargai kerana banyak membantu tugas kami dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Pesuruhjaya Polis Sabah Bersama Media 2026, di sini, hari ini.

Dalam ucapannya, Jauteh turut berkongsi pengalaman apabila sebahagian kenyataannya pernah dipetik secara tidak lengkap dalam satu kandungan di TikTok sehingga menimbulkan tafsiran berbeza dalam kalangan masyarakat.

Katanya, keadaan itu menyebabkan ada pihak membuat laporan polis, namun rakaman penuh yang dimiliki wartawan di lokasi akhirnya membantu menjelaskan perkara sebenar.

“Wartawan yang berada di lokasi mempunyai rakaman penuh dan mereka tahu apa sebenarnya yang berlaku.

“Sebab itu penting untuk kita memastikan sesuatu maklumat disampaikan dengan tepat dan tidak hanya mengambil sebahagian kenyataan sehingga maksud asalnya berubah,” katanya.

Jauteh berkata, pengalaman berkenaan membuktikan kepentingan hubungan baik serta persefahaman antara polis dan pengamal media, khususnya dalam memastikan masyarakat menerima maklumat yang benar.

Pada masa sama, beliau turut mengambil kesempatan memohon maaf sekiranya terdapat kekurangan atau kesilapan daripada pihak PDRM sepanjang berurusan dengan pengamal media.

Menurutnya, hubungan yang terjalin selama ini diharap dapat diteruskan walaupun beliau tidak lagi menjalankan tugas sebagai anggota polis selepas bersara kelak.

“Selepas ini saya akan kembali menjadi orang awam, tetapi hubungan dan persahabatan yang terjalin dengan rakan media tetap saya hargai.

“Terima kasih atas segala sokongan dan kerjasama sepanjang saya menjalankan amanah di Sabah,” katanya. – Info X