KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran beberapa pegawai kanan polis, termasuk Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Datuk Victor Sanjos yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu.
Victor akan menggantikan Datuk Jauteh Dikun dengan memangku pangkat Komisioner Polis (CP) dan diminta melapor diri ke jawatan baharunya selepas persaraan wajib Jauteh pada 11 November ini.
Pertukaran jawatan itu diumumkan PDRM menerusi satu kenyataan media yang ditandatangi Setiausaha PDRM, Deputi Komisioner Mohammad Mashdik Yahya pada Sabtu.
Selain Victor, turut bertukar jawatan ialah Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Sabah, Datuk Abdul Fuad Abdul Malek.
Beliau bakal menggantikan Victor sebagai Komander ESSCOM dengan memangku pangkat Deputi Kimisioner Polis (DCP) dan diminta melapor diri pada atau selepas 11 November ini.
Jawatan yang dikosongkan Abdul Fuad pula bakal diisi Asisten Komisioner Polis (ACP) Dasuki Che Driss yang kini menyandang jawatan Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Operasi Pencegahan / Analisa Pendataan / Koordinasi Sumber Sokongan) Sarawak.
Beliau akan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner (SAC) dan diminta melapor diri pada atau selepas 11 November ini.
Seorang lagi pegawai kanan polis yang bertukar jawatan ialah Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sabah, Superintendan Yampil Garai yang akan bertukar ke jawatan Ketua Polis Lahad Datu.
Beliau bakal memangku pangkat Asisten Komisioner Polis (ACP) dan diminta melapor diri selepas 16 Disember depan.
Tiga pegawai kanan polis Sabah itu adalah antara 19 pegawai kanan PDRM yang tersenarai bertukar jawatan menerusi pertukaran jawatan terbaharu yang dilakukan PDRM.
Selebihnya, antara lain membabitkan pertukaran jawatan Pesuruhjaya Polis Sarawak yang bakal diambil alih Timbalannya, Deputi Komisioner Polis Saifullizan Ishak dengan memangku pangkat Komisioner Polis.
Yang lain membabitkan pertukaran jawatan pegawai kanan polis di Bukit Aman dan negeri lain. – Info X