PENAMPANG: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum melanggar penghadang jalan di Jalan Pan Borneo berhampiran Kampung Tanaki, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.34 malam itu, mangsa berusia 39 tahun mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, Asisten Superintendan Arisanti Aziz berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dari arah Putatan menuju ke Inobong.
Katanya, ketika melalui lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum motosikal ditunggangnya terbabas dan melanggar penghadang jalan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Arisanti berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-809 5133.
“Polis turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati terutama ketika melalui kawasan pembinaan jalan raya pada waktu malam bagi mengelakkan kemalangan,” katanya. – Info X