Search

Umpan tiket loteri Toto menang, wanita diperdaya serah wang dan barang kemas

November 7, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Bermodalkan tiket loteri toto dan cek disyaki palsu, sekumpulan lelaki warga Indonesia dipercayai memperdaya wanita berusia dengan menyamar sebagai pemenang hadiah sebelum melarikan wang tunai serta barang kemas mangsa.

Lebih licik, suspek menggunakan helah meminta bantuan mangsa menebus hadiah kemenangan loteri toto sebelum memperdaya mereka supaya menyerahkan barangan berharga sebagai jaminan.

Dalam kegiatan itu, suspek akan mendekati wanita berusia dan berpura-pura berkenalan sebelum menunjukkan tiket loteri toto serta cek disyaki palsu bagi meyakinkan mangsa.

Mangsa kemudian dibawa menaiki kereta menuju ke kedai loteri toto berhampiran sebelum diminta menyerahkan wang tunai atau barang kemas sebagai jaminan.

Sebaik mangsa diturunkan untuk menebus hadiah berkenaan, suspek terus melarikan diri bersama barangan berharga yang diserahkan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, kegiatan itu terbongkar selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang mangsa warga Indonesia yang mendakwa ditipu menggunakan modus operandi berkenaan.

Katanya, susulan laporan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu menjalankan risikan dan operasi sebelum berjaya menahan dua lelaki warga Indonesia berusia 51 dan 52 tahun.

“Hasil operasi dijalankan, polis turut merampas sebuah kereta Perodua Bezza dan sekeping cek bertandakan ‘Sports Toto’ yang disyaki palsu.

“Bagaimanapun, polis masih mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penipuan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dzulbaharin berkata, suspek yang masih dikehendaki dikenali sebagai Raswandi Armasnyah, warga Indonesia yang turut menggunakan nama panggilan Roy, Salim atau Haji.

Sehubungan itu, beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi IPD Lahad Datu di talian 089-881255 atau Bahagian Risikan dan Operasi di talian 016-2575282.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai individu tidak dikenali, khususnya yang menawarkan hadiah atau meminta wang dan barang kemas sebagai jaminan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan,” katanya. – Info X