KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang sedang membuat pusingan U di Jalan Lintas, berhampiran City Mall, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 10.20 malam itu, mangsa berusia 18 tahun tercampak ke atas jalan raya selepas motosikal Honda CBR150 ditunggangnya melanggar bahagian sisi kiri hadapan kenderaan Isuzu D Max berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati pacuan empat roda dipandu lelaki berusia 45 tahun itu sedang membuat pusingan U di lokasi kejadian.

Katanya, ketika itu motosikal mangsa bergerak lurus dari arah Bukit Padang menuju ke Inanam melalui lorong kedua dari kiri.
“Ketika pacuan empat roda berkenaan membuat pusingan U, motosikal mangsa melanggar bahagian sisi kiri hadapan kenderaan itu.
“Akibat perlanggaran berkenaan, mangsa tercampak ke atas jalan raya sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Queen Elizabeth II (HQE II),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Shahrudin berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk proses bedah siasat.

Katanya, pemandu pacuan empat roda terbabit turut ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut berhubung kejadian itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Royston Ubak di talian 016-3130153 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa memandu dengan cermat, berhemah dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kemalangan yang boleh meragut nyawa. – Info X