KOTA KINABALU: Sabah International Tattoo Convention 2026 edisi keempat yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu hingga hari ini, menjadi platform menghimpunkan penggiat seni tatu tempatan dan antarabangsa dalam mengetengahkan kreativiti serta kepelbagaian seni budaya.
Berlangsung di Kimanis Ballroom, Hyatt Regency Kota Kinabalu, konvensyen itu disertai artis dan studio tatu dari 16 negara, sekali gus memperlihatkan perkembangan seni tatu pada peringkat antarabangsa.
Penganjuran selama dua hari itu menampilkan pelbagai aktiviti termasuk sesi seni tatu secara langsung, pertandingan tatu serta pameran hasil karya artis yang mengambil bahagian.

Konvensyen berkenaan turut menampilkan barisan juri antarabangsa dari Thailand, Switzerland dan United Kingdom, iaitu Nui Sangvisead, Christian Nguyen serta Casper Redmer.
Selain mengetengahkan seni tatu, pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan kebudayaan, mengunjungi gerai pameran serta berinteraksi dengan artis dari pelbagai negara.

Penganjuran edisi keempat itu turut memperkukuh kedudukan Kota Kinabalu sebagai lokasi penganjuran acara seni dan kebudayaan bertaraf antarabangsa, selain membuka ruang kepada pertukaran idea serta jaringan antara penggiat industri kreatif.-Info X