Search

Belanjawan Negeri 2027 sedia penyelesaian masalah air, elektrik, jalan raya – KM

November 8, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Belanjawan Negeri 2027 yang akan dibentangkan pada 4 Disember depan bakal memberi manfaat besar kepada rakyat Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata belanjawan itu antara lain menyediakan penyelesaian kepada masalah air, elektrik dan jalan raya.

“Saya tidak mahu mendedahkan terlalu banyak perkara sebelum belanjawan itu dibentangkan, tetapi saya ingin menegaskan bahawa ia adalah belanjawan yang baik untuk rakyat dan pembangunan negeri.

“Belanjawan ini akan menyediakan penyelesaian kepada masalah yang kita hadapi di Sabah, termasuk bekalan air, elektrik dan jalan raya,” katanya ketika ditemui pada sambutan Deepavali di Magellan Sutera, di sini, pada Ahad.

Mengenai sambutan Deepavali, Hajiji berharap perayaan itu akan membawa cahaya baik dan keberkatan bukan saja kepada masyarakat India, tetapi juga kepada semua kaum di Sabah.

“Inilah semangat Malaysia sebenar yang kita mahu lihat, sebuah masyarakat berbilang kaum yang meraikan perayaan bersama-sama.

“Marilah kita terus mempertahankan semangat perpaduan ini demi kebaikan bersama,” katanya.

Terdahulu, Ketua Menteri bersama isteri, Datin Seri Juliah Salag, menyempurnakan upacara memotong kek sambutan Deepavali, diiringi Presiden Dewan Perniagaan India Sabah (SICC), Datuk V Jothi san tetamu kehormat lain.

Hajiji kemudiannya menyampaikan sumbangan daripada SICC kepada Persatuan Orang Buta Sabah dan Jireh Home di Tuaran.

Sambutan Pesta Cahaya yang dianjurkan bersama oleh Kerajaan Negeri dan Dewan Perniagaan India Sabah (SICC) itu dihadiri lebih 1,400 orang.

Turut hadir ialah Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri-Menteri Kabinet negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman, wakil rakyat serta pemimpin masyarakat. – Info X