Search

Hutang barang runcit bawa maut, suspek diberkas kurang 24 jam

November 8, 2026

Info X Reporters

PAPAR: Perselisihan faham dipercayai berpunca daripada hutang pembelian barangan runcit berakhir dengan kematian seorang warga emas berusia 75 tahun yang ditemukan dengan kesan kelar pada leher di rumahnya di Kampung Gading, Ulu Bongawan, di sini, petang semalam.

Bagaimanapun, suspek lelaki warga asing berusia 35 tahun yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan itu berjaya diberkas polis dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian dilaporkan.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir.

Suspek ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi di kawasan kuarters pekerja ladang di kampung sama, hasil risikan dan tindakan pantas pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mangsa dalam keadaan tidak bernyawa di kediamannya kira-kira jam 6.15 petang semalam.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan serius pada bahagian leher dipercayai akibat kelaran menggunakan senjata tajam.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan berkaitan hutang pembelian barangan runcit antara suspek dengan mangsa.

“Bagaimanapun, motif sebenar pembunuhan masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pasukan polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian di Kampung Gading, Ulu Bongawan, Papar.

Heryan berkata, suspek berjaya dikesan dan ditahan sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Papar dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sabah.

Menurutnya, polis turut merampas beberapa barang kes yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pembunuhan itu untuk pemeriksaan dan analisis forensik.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok bagi membantu siasatan lanjut.

“Polis memandang serius sebarang bentuk jenayah kekerasan dan akan memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh, profesional serta berlandaskan peruntukan undang-undang,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Papar atau mana-mana balai polis berhampiran. – Info X