Search

Belanjawan Negeri 2027: Peruntukan besar tangani masalah infrastruktur asas – Masidi

November 9, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Peruntukan besar akan terus ditumpukan terhadap usaha menangani masalah infrastruktur asas, khususnya bekalan air, elektrik dan jaringan jalan raya menerusi Belanjawan Negeri 2027.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun, bagaimanapun berkata penyediaan Belanjawan Negeri 2027 perlu mengambil kira kedudukan hasil negeri bagi memastikan perancangan perbelanjaan selaras dengan kemampuan kewangan kerajaan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, pengurusan kewangan dan tata kelola yang baik amat penting bagi memastikan setiap peruntukan digunakan secara berhemah dan menepati keutamaan pembangunan negeri.

Katanya, antara yang masih menjadi keutamaan di Sabah ialah penyediaan peruntukan untuk menangani masalah infrastruktur asas, khususnya bekalan air, elektrik dan jaringan jalan raya.

“Dalam menyediakan Belanjawan 2027, kita perlu memastikan anggaran perbelanjaan bersesuaian dengan hasil negeri. Pengurusan kewangan yang baik amat penting supaya setiap peruntukan dapat dimanfaatkan mengikut keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Sambutan Deepavali di Magellan Sutera Resort, di sini, pada Ahad.

Masidi berkata, penyelesaian isu bekalan air memerlukan perancangan jangka panjang dan pelaksanaan secara berperingkat, dengan beberapa projek dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga tahun untuk disiapkan.

“Masalah bekalan air bukan sesuatu yang boleh diselesaikan dalam tempoh singkat. Kita perlu melihatnya dalam jangka masa panjang kerana pelaksanaan projek berkaitan mungkin mengambil masa antara dua hingga tiga tahun,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Masidi berkata baki peruntukan tambahan sebanyak RM900 juta daripada Kerajaan Persekutuan dijangka meningkatkan jumlah keseluruhan peruntukan yang berpotensi diterima Sabah kepada hampir RM8 bilion, tahun ini.

Bagaimanapun, beliau berkata peruntukan tambahan berkenaan masih dalam proses memenuhi prasyarat serta syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Katanya, Kerajaan Negeri kini menunggu penyaluran peruntukan tersebut dan berharap ia dapat diterima menjelang penghujung tahun ini.

“Peruntukan tambahan itu akan dimanfaatkan bagi membiayai pembangunan negeri demi meningkatkan kesejahteraan dan memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya. – Info X