RANAU: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera di kepala selepas dua motosikal bertembung di Kilometer 12, Jalan Lohan-Bongkud, berhampiran pasar raya 99 Speedmart Lohan, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.37 petang itu, penunggang motosikal Aveta berusia 32 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan motosikal Yamaha 135LC yang ditunggang lelaki berusia 30 tahun dari arah Lohan menuju ke Pekan Ranau.
Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal berkenaan dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan yang bergerak perlahan di hadapannya.
“Bagaimanapun, motosikal ditunggangnya tiba-tiba bertembung dengan sebuah motosikal Aveta yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat pertembungan itu, penunggang motosikal Aveta mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Lohan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mursalin berkata, seorang lagi penunggang mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, mayat mangsa turut dibawa ke Unit Forensik Hospital Ranau bagi tujuan bedah siasat.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada terutama ketika memotong kenderaan lain serta memastikan laluan bertentangan benar-benar selamat sebelum melakukan tindakan berkenaan.-Info X