Search

Wanita OKU ditemukan lemas di tepi sungai

November 10, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) intelektual ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai lemas di sungai berhampiran Taman Green, Jalan Sin Onn, di sini, hari ini.

Mangsa berusia 33 tahun yang dilaporkan hilang oleh bapanya kira-kira jam 12 tengah hari ditemukan penduduk kampung di kawasan tebing sungai sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada jam 1.56 petang sebelum menggerakkan pasukan ke lokasi.

Katanya, seramai 10 anggota bersama jentera digerakkan dan tiba di lokasi kejadian pada jam 2.03 petang.

“Pasukan bomba mendapati mangsa berada dalam keadaan tersangkut di tepi sungai sebelum anggota lengkap berpakaian peralatan keselamatan diri turun ke sungai untuk membawa mangsa naik ke darat menggunakan pengusung.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis pada jam 2.30 petang untuk tindakan lanjut.

“Operasi yang membabitkan kerjasama polis dan KKM itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.38 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya.-Info X