KOTA KINABALU: Datuk Victor Sanjos secara rasmi mengambil alih kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu menggantikan Datuk Jauteh Dikun yang menamatkan perkhidmatannya selepas lebih 32 tahun menabur bakti dalam pasukan itu.
Majlis pemakaian pangkat Komisioner Polis dan serah terima tugas berkenaan berlangsung di Auditorium Sayat-Sayat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, petang ini.
Majlis itu disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid yang turut menyempurnakan pemakaian pangkat Komisioner Polis kepada Victor.
Victor yang sebelum ini menjawat jawatan Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) kini menggalas tanggungjawab lebih besar dalam menerajui pasukan polis di negeri ini.
Pelantikan beliau sekali gus menandakan peralihan kepimpinan tertinggi PDRM Sabah dalam memastikan kesinambungan usaha membanteras jenayah, memperkukuh keselamatan serta memelihara ketenteraman awam.
Pada majlis itu, Jauteh menyerahkan tanggungjawabnya kepada Victor menerusi acara menandatangani dokumen serah terima tugas, penyerahan dokumen secara simbolik serta tongkat kuasa.

Penyerahan berkenaan menjadi simbol peralihan amanah dan tanggungjawab kepimpinan tertinggi PDRM Sabah daripada Jauteh kepada penggantinya.
Bagi Jauteh, majlis itu menjadi detik penuh bermakna apabila beliau menutup tirai kerjayanya dalam pasukan keselamatan negara selepas lebih tiga dekad mencurahkan khidmat bakti.
Sepanjang perkhidmatannya, beliau memainkan peranan penting dalam memperkukuh keselamatan, meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang serta memantapkan hubungan antara polis dan masyarakat.
Majlis berkenaan turut menyaksikan serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Sabah daripada isteri Jauteh, Datin Nurhayatie Farhana Abdullah kepada isteri Victor, Datin Ellen Ansie Anak Swithun Ansie.
Acara itu disaksikan isteri Timbalan Ketua Polis Negara, Datin Seri Selmiah Tuan Ibrahim yang juga Naib Pengerusi PERKEP Malaysia.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan perbarisan khas sempena pemakaian pangkat dan serah terima tugas Pesuruhjaya Polis Sabah sebagai simbol penghormatan kepada kepimpinan terdahulu serta menyambut peneraju baharu PDRM Kontinjen Sabah. – Info X