TUARAN: Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya memperkasa Mahkamah Anak Negeri (MAN) menerusi kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Anak Negeri 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Julai lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kelulusan itu menandakan detik bersejarah yang menamatkan penantian sekian lama kerajaan negeri untuk memartabat dan memperkasakan sistem perundangan adat anak negeri.
Beliau berkata, langkah kerajaan mengukuhkan MAN bertujuan memodenkan sistem perundangan tradisional Bumiputera dan memastikan ia kekal berkesan, relevan serta berwibawa seiring peredaran zaman.
“Usaha ini juga untuk memastikan bidang kuasanya lebih jelas, teratur, dan berupaya memelihara serta memartabatkan undang-undang adat tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Pemuliharaan Sungai Tuaran dan Tapak Letak Kenderaan Baharu Pekan Tuaran, di sini, pada Rabu.
Hajiji berkata, beberapa pembaharuan utama berjaya dicapai melalui enakmen baharu itu, antaranya struktur kehakiman yang lebih mantap dan profesional, yang mana struktur mahkamah disusun semula dengan lebih komprehensif.

Katanya, langkah itu bagi merangkumi Mahkamah Daerah Anak Negeri, Mahkamah Tinggi Anak Negeri dan Mahkamah Rayuan Anak Negeri, selain mewujudkan jawatan Ketua Hakim dan Hakim Besar Mahkamah Anak Negeri, serta jawatan Peguam Mahkamah Anak Negeri dan Pendaftar.
“Pelantikan hakim kini dirancang berasaskan merit untuk memastikan integriti dan kewibawaan yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata, pengukuhan itu turut melibatkan pemisahan fungsi yang lebih nyata di antarapentadbiran dan adat dengan fungsi penghakiman.
Bagaimanapun, katanya peranan tradisi pegawai adat seperti Ketua Daerah dan Ketua Anak Negeri tetap dipelihara untuk mengekalkan akar adat masyarakat Sabah.
Katanya, seiring dengan transformasi perundangan itu, kerajaan GRS turut memperuntukkan dana bagi menaik taraf fizikal bangunan, termasuk cadangan menaik taraf Kompleks Kehakiman Anak Negeri Sabah serta membina mahkamah baharu di beberapa daerah bagi menyokong struktur institusi yang lebih mantap.
Hajiji berkata, pemerkasaan itu bukan sahaja menaikkan imej institusi adat, malah menjadi langkah kritikal dalam meletakkan status Undang-Undang Adat Anak Negeri pada kedudukan yang lebih dihormati dan setaraf dalam sistem perundangan negara.
Beliau berkata, agenda perjuangan kerajaan GRS tidak pernah terhad kepada pembangunan fizikal dan material semata-mata, sebaliknya turut merangkumi usaha memelihara jati diri, khazanah dan institusi perundangan adat.
“Sabah adalah sebuah bumi yang kaya dengan kepelbagaian budaya, adat resam, dan keunikan anak negeri. Oleh itu, memelihara maruah dan kedaulatan undang -undang adat adalah tanggungjawab besar yang dipikul oleh kerajaan hari ini,” katanya. – Info X