KOTA KINABALU: Seramai 71 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 25 kanak-kanak ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam operasi penguatkuasaan di Ranau dan Sandakan.
Operasi yang dijalankan di dua daerah berkenaan menyaksikan seramai 107 individu diperiksa dengan 68 warga Filipina dan tiga warga Indonesia ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan imigresen.
JIM Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan, operasi di Ranau dijalankan susulan aduan awam berhubung kehadiran warga asing yang mencurigakan di beberapa kawasan.
Katanya, seramai 14 pegawai Imigresen Ranau bersama anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) menggempur tiga lokasi yang dikenal pasti.

“Hasil pemeriksaan terhadap 24 individu, seramai 21 warga Filipina ditahan kerana disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah.
“Operasi ini membuktikan maklumat dan kerjasama orang awam memainkan peranan penting dalam membantu pihak berkuasa mengesan kehadiran PATI,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, di Sandakan, seramai 50 PATI termasuk 25 kanak-kanak ditahan menerusi Ops Sapu yang menyasarkan lima kawasan penempatan setinggan.

Operasi bermula kira-kira jam 1.35 pagi itu membabitkan 15 pegawai penguat kuasa imigresen yang menjalankan pemeriksaan terhadap 83 individu.
Antara lokasi digempur ialah Kampung Ulu Dusun Batu 30 Jalan Labuk, Kampung Bimbim Batu 16, Kampung Gum-Gum Kuari 7 dan Kuari 2 serta Flat Taman Sejati Batu 7 Jalan Airport.
Menurut kenyataan itu, semua 71 individu yang ditahan dalam kedua-dua operasi terbabit disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Kesemua mereka dibawa untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang berkenaan.

JIM Sabah turut menegaskan operasi penguatkuasaan akan diteruskan bagi membanteras kehadiran PATI, khususnya di kawasan yang dikenal pasti menjadi tumpuan warga asing tanpa dokumen sah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kehadiran PATI diminta menyalurkan aduan melalui saluran rasmi JIM termasuk Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) dan Sistem Pertanyaan Online (SPO).
Kerjasama masyarakat amat penting bagi membantu usaha penguatkuasaan serta memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara. – Info X