LABUAN: Bukan di siling atau bawah katil, sebaliknya seekor ular sawa batik memilih tombol pintu bilik sebagai tempat untuk melilitkan badannya dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Lajau, di sini, awal pagi tadi.
Kehadiran reptilia berkenaan yang melingkar pada tombol pintu dengan sebahagian badannya menjulur ke atas menyebabkan penghuni rumah cemas sebelum mendapatkan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Labuan.
Uniknya, ular itu seolah-olah menjadi ‘penjaga pintu’ apabila badannya membelit kemas tombol pintu bilik berkenaan.
APM Labuan dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan ular itu pada jam 5.49 pagi.
Susulan itu, katanya empat anggota daripada Skuad Charlie digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menangkap reptilia berkenaan.
“Sebaik tiba, anggota mendapati seekor ular sawa batik sedang membelit tombol pintu bilik di dalam kediaman berkenaan.
“Anggota kemudian menjalankan operasi menangkap ular itu menggunakan peralatan khas bagi memastikan keselamatan penghuni rumah,” menurut kenyataan itu.
Ular berkenaan akhirnya berjaya ditangkap dengan selamat sebelum operasi ditamatkan pada jam 6.05 pagi.
APM Labuan turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak sendiri sekiranya menemui ular di dalam rumah kerana tindakan itu boleh mengundang bahaya.
“Orang ramai diminta segera menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan menangkap haiwan berkenaan,” katanya. – Info X