KOTA KINABALU: Hungary merancang mengadakan ekspedisi saintifik ke Sabah tahun depan dengan kerjasama saintis dan universiti dari negara itu serta Malaysia.
Duta besarnya ke Malaysia, Dr Sándor Sipos, berkata ekspedisi itu bagi meneroka potensi penyelidikan saintifik dan memperingati sumbangan saintis
Hungary, Franz Xaver Witti, yang pernah menjalankan ekspedisi di negeri ini pada abad ke-19.
Beliau berkata ekspedisi itu bertujuan memperkukuh kerjasama penyelidikan saintifik dan warisan budaya dengan diakhiri penerbitan sebuah buku mendokumentasikan Sabah serta sumbangan Witti dalam sejarah negeri ini.
“Hubungan sejarah Hungary dengan Sabah turut dapat dilihat menerusi penamaan beberapa lokasi geografi sempena tokoh nama Hungary, antaranya Banjaran Witti di kawasan Sandakan dan Bukit Andrassy di Tawau,” katanya.
Beliau berkata demikian pada kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu, pada Khamis.
Sipos berkata, beliau turut melihat potensi untuk mempererat hubungan Hungary dengan Sabah menerusi kerjasama dalam bidang kebudayaan dan pelancongan, selain pendidikan dan penyelidikan.
Katanya, Kerajaan Hungary turut menawarkan 40 biasiswa kepada belia Malaysia dalam pelbagai bidang serta lebih 600 kursus Bahasa Inggeris.
Beliau juga berkata akan berusaha mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan di Hungary, dengan mengambil kira keunikan biodiversiti dan warisan budaya negeri ini.
Sementara itu, Ketua Menteri menyatakan harapan agar hubungan persahabatan di antara Hungary dengan Sabah dapat terus diperkukuh menerusi penerokaan potensi kerjasama strategik dalam pelbagai bidang demi kepentingan rakyat dan negeri ini.

Beliau juga berharap kunjungan itu membuka lebih banyak ruang kepada pertukaran kepakaran, teknologi dan pengalaman antara kedua-dua pihak, khususnya dalam bidang yang berpotensi menyokong pembangunan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah.
Hajiji turut berharap potensi kerjasama yang dikenal pasti dapat diterjemahkan kepada hubungan lebih erat dan peluang kerjasama yang memberikan manfaat jangka panjang kepada Sabah, merangkumi bidang pendidikan, pertanian, teknologi hijau, penyelidikan biodiversiti, teknologi perubatan, kebudayaan dan pelancongan.
Dalam bidang pendidikan, Hajiji berharap lebih ramai anak Sabah berpeluang melanjutkan pengajian di Hungary menerusi tawaran 40 biasiswa setiap tahun oleh kerajaan negara itu kepada pelajar Malaysia, termasuk dari Sabah.
Tawaran itu diwujudkan di bawah program Stipendium Hungaricum bagi pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).
Sebelum ini, Sipos turut mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman pada 30 Jun lalu sebagai usaha memperkukuh hubungan dua hala dan kerjasama pembangunan strategik di antara Hungary dengan Sabah.
Pada 30 Mei lalu, beliau turut mengadakan kunjungan terhadap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, bagi membincangkan potensi kerjasama dalam pemodenan sektor pertanian, penyelidikan, inovasi dan pembangunan pertanian mampan. – Info X