KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan 13 individu dan merampas produk sejuk beku serta pelbagai peralatan bernilai lebih RM7.1 juta dalam operasi serentak di tujuh daerah di Sabah, Selasa lalu.
Operasi dikenali sebagai Op Salju Mega menerusi Op Taring Chiller itu dijalankan di Kota Kinabalu, Tawau, Kunak, Lahad Datu, Sandakan, Beluran dan Ranau bagi membanteras kegiatan penyeludupan, penyimpanan serta pemprosesan produk sejuk beku yang menyalahi undang-undang.
Komander Briged Sabah PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nor Omar Sappi berkata, operasi bersepadu itu dilaksanakan hasil maklumat orang awam dengan lapan serbuan dijalankan antara jam 9 pagi hingga 6 petang.

Katanya, serbuan berkenaan membawa kepada penahanan 13 individu berusia antara 18 hingga 60 tahun termasuk seorang lelaki warga asing.
“Kesemua individu yang ditahan didapati tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
“Nilai keseluruhan rampasan dan sitaan di lapan lokasi berkenaan dianggarkan RM7,116,982.98,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Nor Omar berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM6.017 juta membabitkan kemudahan bilik sejuk beku atau cold room, mesin penyejuk (chiller) serta pelbagai peralatan lain.
Katanya, selebihnya bernilai hampir RM1.1 juta membabitkan pelbagai jenis produk sejuk beku yang dirampas sepanjang operasi berkenaan.

“Operasi ini membabitkan 131 pegawai dan anggota daripada PGA, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta pihak berkuasa tempatan.
“Antara kesalahan yang dikenal pasti membabitkan Enakmen Haiwan Sabah 2015, peraturan pihak berkuasa tempatan berkaitan premis perniagaan dan makanan serta Akta Cukai Pendapatan,” katanya.

Menurutnya, individu yang disabitkan kesalahan mengikut Enakmen Haiwan Sabah 2015 boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Beliau berkata, semua individu yang ditahan bersama barang rampasan sudah diserahkan kepada agensi berkaitan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“PGA akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan penyeludupan, penyimpanan dan pemprosesan produk sejuk beku yang menyalahi undang-undang, khususnya di Sabah.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan berkenaan diminta menyalurkannya kepada polis bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil,” katanya. – Info X