Parkir sementara, ruang simpan kontena tangani isu parking haram, kesesakan di SBCP

November 14, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seluas 14 ekar ruang penyimpanan kontena dan lebih satu ekar parkir lori dan treler disediakan bagi menangani isu parkir di bahu jalan dan kesesakan di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar (SBCP), di sini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick, berkata parkir sementara seluas lebih satu ekar disediakan Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), manakala kawasan penyimpanan kontena tambahan seluas 14 ekar akan dibangunkan Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB).

Katanya, kedua-dua kemudahan itu adalah sebahagian daripada 10 Pelan Tindakan Sementara yang diperakukan Kabinet Negeri.

Jelasnya, penyediaan kawasan parkir sementara bagi menangani kekurangan tempat meletak treler kontena, terutama apabila depo di KKIP penuh atau tidak lagi menerima kontena selepas waktu operasi.

“Isu yang timbul selama ini adalah ketiadaan kawasan letak treler kontena sementara, terutama selepas depo-depo di KKIP sudah penuh atau tidak lagi menerima kontena selepas waktu operasi.

“Sebab itu, KKIP mengambil langkah proaktif menyediakan kawasan parkir sementara yang kini sudah mulai digunakan syarikat perkhidmatan lori treler sejak bulan lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat khas membincangkan penyelarasan penguatkuasaan larangan meletakkan treler kontena di bahu jalan sepanjang Jalan Pelabuhan Sepanggar, di sini, pada Jumaat.

Mesyuarat itu membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), SPSB dan KKIP.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan negeri, berkata langkah jangka pendek, sementara dan jangka panjang sudah dikenal pasti, dengan diselaraskan kementeriannya.

“Saya dimaklumkan LPKP Sabah telah mengambil lebih 3,000 tindakan penguatkuasaan sepanjang tempoh 2024 hingga 2026, termasuk mengeluarkan 2,085 notis pelanggaran syarat lesen, 846 surat amaran dan 82 surat penggantungan serta membatalkan 16 permit bagi treler yang melanggar peraturan, termasuk meletak kenderaan di bahu jalan,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi KKIP turut membangkitkan aspek penguatkuasaan syarat wajib pemilikan depo sendiri bagi setiap syarikat pengangkutan yang memohon atau memperbaharui permit treler masing-masing.

Selepas mesyuarat itu, Ewon melawat kawasan parkir sementara untuk lori dan treler kontena yang boleh memuatkan maksimum 50 treler pada satu-satu masa.

“Kapasiti ini boleh ditambah mengikut keperluan pengguna kerana tanah KKIP adalah tersedia,” katanya.

Katanya, DBKK akan membantu KKIP mewartakan penggunaan sementara kawasan berkenaan sebagai tapak depo atau parkir sementara lori treler, selaras dengan keputusan Kabinet Negeri.

Langkah itu, katanya membolehkan syarikat perkhidmatan treler menggunakan kawasan berkenaan sebagai kawasan depo ketika memperbaharui permit tahunan.

Beliau berkata, beberapa syarikat sudah mula menggunakan kemudahan itu dan agensi penguatkuasaan akan membantu memastikan syarikat berkaitan memanfaatkan kawasan parkir berkenaan.

Sementara itu, Ewon berkata, pemantauan mingguan pihak berkuasa mendapati lebih 200 treler diletakkan di bahu jalan ketika ini.

“Satu kompaun yang dikeluarkan agensi penguatkuasaan bagi treler yang diletakkan di bahu jalan adalah sebanyak RM300 dan jumlah ini sebenarnya sudah boleh membiayai kadar sewa di parkir sementara treler ini untuk tempoh hampir sebulan,” katanya.

Beliau berkata, penyediaan kemudahan parkir sementara itu sudah dimaklumkan lebih awal kepada persatuan logistik dan pengangkutan yang beroperasi dengan SBCP.

Ewon turut meninjau tapak seluas 14 ekar bersebelahan SBCP yang akan dibangunkan SPSB sebagai kawasan penyimpanan kontena tambahan.

Katanya, kemudahan itu akan membantu memenuhi keperluan syarikat kilang besar di KKIP, khususnya yang beroperasi 24 jam dan mempunyai keperluan eksport serta import melalui SBCP sepanjang masa.

Kawasan itu juga, katanya akan menjadi tempat penyimpanan sementara produk berasaskan kayu oleh Sabah Timber Industries Association (STIA).

“Kesemua 10 Pelan Tindakan yang dilaksanakan akan berkuat kuasa sehingga projek pembesaran SBCP yang sedang berjalan siap sepenuhnya,” katanya.

Bagi jangka panjang, beliau berkata, keseluruhan kawasan pelabuhan di Teluk Sepanggar akan dibangunkan sebagai pelabuhan bersepadu moden, bermula dengan penyiapan projek pembesaran semasa sebelum disusuli pembesaran seterusnya.

“Kementerian akan terus memperkasa inisiatif-inisiatif yang bersesuaian supaya aktiviti perindustrian dapat dijalankan tanpa mengabaikan aspek keselamatan. Ini memerlukan kerjasama dan komitmen semua pihak termasuk syarikat-syarikat perkhidmatan lori treler.

“Selagi diberi mandat dan tanggungjawab, saya akan terus bersama pelbagai pihak dan pemegang taruh bagi memastikan pelabuhan-pelabuhan di Sabah menyumbang dengan lebih baik kepada pembangunan perindustrian dan keusahawanan di Sabah,” katanya.

Beliau turut menyatakan akan membawa beberapa perkara berkaitan ekosistem pelabuhan untuk dibincangkan dengan kementerian berkaitan di peringkat Kerajaan Persekutuan. – Info X