KOTA KINABALU: Hujan renyai-renyai mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham Mohd Soberi Bakri, 31, yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas, di sini, petang tadi.
Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan apabila lebih 200 ahli keluarga, saudara-mara, sahabat handai dan kenalan hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Pemergian Allahyarham yang maut akibat ditikam dalam kejadian di Sulaman Sentral, Manggatal, kelmarin, meninggalkan kesedihan mendalam kepada keluarga serta mereka yang mengenalinya.

Hujan renyai-renyai yang turun ketika urusan pengebumian berlangsung menambahkan lagi suasana sayu, terutama ketika jenazah Allahyarham disemadikan buat selama-lamanya.
Kehadiran ahli keluarga dan kenalan yang mengiringi jenazah sehingga ke tanah perkuburan menjadi tanda kasih serta penghormatan terakhir buat Allahyarham.
Jenazah Allahyarham selesai menjalani proses bedah siasat kira-kira jam 12.30 tengah hari sebelum dibawa ke kediaman datuknya pada jam 2.45 petang.
Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Jamek Kampung Likas untuk disolatkan selepas solat Asar sebelum diiringi ahli keluarga dan kenalan ke tanah perkuburan.
Jenazah tiba di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas kira-kira jam 4 petang sebelum urusan pengebumian selesai pada jam 4.33 petang.

Pihak keluarga turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang hadir memberikan penghormatan terakhir serta mendoakan kesejahteraan Allahyarham.
Terdahulu Allahyarham dilaporkan maut selepas ditikam ketika cuba menghalang seorang lelaki daripada mengejar penjual makanan dalam kejadian di tingkat satu Sulaman Sentral, Manggatal, kira-kira jam 4.30 pagi, Jumaat lalu.
Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Likas, oleh abangnya sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6 pagi.

Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara suspek berusia 38 tahun dengan seorang penjual makanan di sebuah kafe berhampiran lokasi kejadian. – Info X