KOTA KINABALU: Siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhadap isu berkaitan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah tidak seharusnya tertumpu kepada aspek penamatan rakan penyampai projek (PDP) semata-mata.
Ketua Penerangan Parti Warisan, Tham Yun Fook, berkata Warisan berpendirian siasatan pihak PAC tidak boleh mengabaikan persoalan yang lebih besar mengenai keseluruhan perjalanan projek LPB Sabah sejak awal pelaksanaannya.
Katanya, ia adalah intipati gesaan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, supaya PAC menjalankan siasatan menyeluruh, merangkumi penubuhan dan pelantikan PDP pada 2016, struktur pemilikan syarikat, proses pemilihan kontraktor, prestasi pelaksanaan, pengurusan kewangan serta penggunaan wang awam.
“Sekiranya PAC hanya menumpukan perhatian kepada keputusan penamatan PDP pada 2019, beberapa persoalan asas masih belum terjawab.
“Antaranya, apakah asas dan justifikasi pelantikan PDP pada 2016? Bagaimanakah struktur pemilikan syarikat yang terlibat? Apakah proses dan kriteria pemilihan kontraktor?
“Adakah prestasi semua pihak yang terlibat dipantau dengan sewajarnya? Berapakah jumlah wang awam yang telah dibelanjakan dan apakah pulangan serta hasil kerja yang diperoleh daripada pembayaran tersebut?
“Persoalan-persoalan ini sama pentingnya dengan isu penamatan PDP dan tidak boleh diketepikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
ADUN Likas itu, berkata Parti Warisan mengambil maklum kenyataan Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, yang menggesa PAC memperluaskan siasatan terhadap kelewatan pelaksanaan projek LPB, khususnya keputusan Kerajaan Persekutuan menamatkan model PDP pada 2019.
“Kami mengalu-alukan bahawa keputusan menamatkan model PDP, proses peralihan kepada kaedah konvensional serta kesannya terhadap kontraktor, jadual pelaksanaan dan kos projek perlu disiasat secara telus.
“Rakyat Sabah berhak mengetahui asas keputusan tersebut dan implikasinya terhadap projek infrastruktur yang amat penting kepada negeri ini.
“Namun begitu, Warisan ingin menegaskan bahawa siasatan PAC tidak seharusnya tertumpu kepada isu penamatan PDP semata-mata sehingga mengabaikan persoalan yang lebih besar tentang keseluruhan perjalanan projek Pan Borneo Sabah sejak awal pelaksanaannya,” katanya.
Katanya, Warisan juga berpandangan bahawa isu kelewatan projek tidak boleh dikaitkan secara mudah dengan pertukaran kerajaan pada 2018 atau penamatan model PDP pada 2019 tanpa penelitian terhadap keseluruhan fakta dan rekod pelaksanaan.
Jelasnya, setiap keputusan, sama ada dibuat oleh pentadbiran kerajaan Persekutuan terdahulu atau semasa, perlu dinilai berdasarkan bukti dan dipertanggungjawabkan kepada pihak yang membuat keputusan berkenaan.
“Kita tidak mahu siasatan ini menjadi medan saling menuding jari antara pihak politik. Sebaliknya, PAC perlu mengenal pasti punca sebenar kelewatan, kelemahan tadbir urus, implikasi kewangan serta pihak yang bertanggungjawab berdasarkan fakta dan dokumen.
“Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Bilangan 2 Tahun 2026 juga telah membangkitkan pelbagai kelemahan dalam pelaksanaan projek. Penemuan tersebut tidak seharusnya berakhir sebagai laporan semata-mata tanpa penelitian lanjut dan tindakan susulan.
“PAC perlu meneliti semua isu yang dibangkitkan supaya akauntabiliti terhadap penggunaan wang awam dapat ditegakkan.
“Pendirian Warisan jelas, kita tidak menolak siasatan terhadap penamatan PDP, tetapi kita menolak sebarang usaha mengehadkan skop siasatan kepada isu tersebut sahaja.
“Siasatan mesti merangkumi keseluruhan proses, daripada perancangan dan pelantikan PDP sehinggalah kepada pelaksanaan, pembayaran, penamatan serta kemajuan projek pada hari ini,” katanya.
Tham berkata, rakyat Sabah sudah terlalu lama menunggu penyempurnaan Lebuhraya Pan Borneo kerana ia adalah projek untuk rakyat Sabah dan dibiayai menggunakan wang awam, bukannya milik mana-mana parti politik atau kerajaan tertentu.
Tegasnya, Warisan mahu PAC menjalankan siasatan secara bebas, menyeluruh dan tidak memilih pihak.
“Semua individu, syarikat dan pihak berkaitan yang mempunyai maklumat atau terlibat dalam keputusan pelaksanaan projek hendaklah dipanggil untuk memberikan keterangan.
“Jangan hanya siasat mengapa PDP ditamatkan. Siasat juga bagaimana PDP dilantik, bagaimana projek dilaksanakan dan bagaimana wang rakyat dibelanjakan.
“Demi rakyat Sabah, setiap keputusan dan setiap sen wang awam mesti dipertanggungjawabkan,” katanya. – Info X