TAWAU: Tindakan seorang lelaki membawa muatan rokok seludup menggunakan sebuah van membawa padah apabila ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam operasi di Jalan Tawau Lama, berhampiran Kampung Icebox Titingan, di sini, awal pagi semalam.
Lelaki tempatan berusia 45 tahun itu ditahan selepas van Toyota Hiace berwarna putih dipandunya diperiksa dan ditemukan membawa pelbagai jenis rokok serta tembakau dipercayai diseludup.
Pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan keseluruhan bernilai RM1.1 juta termasuk kenderaan yang digunakan untuk membawa barangan berkenaan.

Komander Briged Sabah PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nor Omar Sappi berkata, tangkapan dilakukan kira-kira jam 1 pagi menerusi Op Taring Alpha 1 hasil maklumat orang awam.
Katanya, operasi dijalankan Tiger Platun Kompeni A, Batalion 14 PGA Tawau dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
“Pasukan operasi berjaya menahan sebuah van Toyota Hiace yang dipandu lelaki tempatan sebelum pemeriksaan menemukan pelbagai jenis rokok dan tembakau dipercayai barangan seludup.

“Susulan penemuan itu, pemandu terbabit ditahan manakala semua barangan berkenaan dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Nor Omar berkata, antara barangan dirampas ialah 276,000 batang rokok putih pelbagai jenama bernilai RM540,000 dan 216,000 batang rokok kretek bernilai RM422,400.
Katanya, turut dirampas 880 bungkusan kecil tembakau seberat kira-kira 35.2 kilogram bernilai RM704 serta sebuah van Toyota Hiace dianggarkan bernilai RM140,000.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM1,103,104.
“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kenderaan digunakan juga tidak dikehendaki polis,” katanya.
Beliau berkata, suspek bersama semua barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Polis akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan penyeludupan dan pengedaran rokok serta tembakau, khususnya di Sabah.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan berkenaan diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu tindakan penguatkuasaan,” katanya.
TAMAT