KOTA KINABALU: Margin simpanan penjanaan tenaga elektrik di Sabah meningkat kepada 19 peratus setakat Ogos 2026, berbanding hanya lapan peratus pada 2024.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata perkembangan itu mencerminkan kemajuan yang dicapai dalam usaha memperkukuh sektor tenaga negeri.
Katanya, peningkatan itu adalah susulan daripada pengambilalihan kuasa kawal selia elektrik dan tenaga boleh baharu oleh kerajaan Sabah daripada kerajaan Persekutuan sejak Januari 2024.
Beliau berkata, bekalan elektrik yang stabil dengan harga berpatutan adalah asas penting kepada pembangunan ekonomi, khususnya dalam usaha mempergiat perindustrian, menarik pelaburan bernilai tinggi dan mewujudkan peluang pekerjaan bergaji lebih baik.
“Usaha mempergiat sektor perindustrian, menarik pelaburan bernilai tinggi serta mewujudkan peluang pekerjaan bergaji lebih baik memerlukan bekalan elektrik yang stabil, boleh dipercayai dan ditawarkan pada harga berpatutan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan Workshop on Sabah Energy Investments and Regional Interconnections anjuran Asian Development Bank (ADB), di sini, pada Isnin.
Masidi yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata pelaksanaan Sabah Energy Roadmap and Master Plan (SERMP) 2040 menjadi kerangka penting dalam meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik, memperluas elektrifikasi luar bandar serta mempelbagaikan sumber tenaga negeri.
Beliau turut menekankan kepentingan projek Southern Link dalam memperkukuh rangkaian penghantaran elektrik di Sabah, khususnya bagi meningkatkan keupayaan penyaluran bekalan ke kawasan Pantai Timur.
“Kerjasama sambungan grid elektrik di antara Sarawak dan Sabah yang mula membekalkan tenaga pada Disember tahun lalu membuktikan manfaat kerjasama dalam memperkukuh keselamatan bekalan tenaga,” katanya.
Beliau berkata, Sabah juga mempunyai kedudukan strategik untuk meneroka peluang kerjasama tenaga serantau menerusi cadangan sambungan elektrik Kalimantan Utara-Sabah, Borneo Grid dan potensi sambungan Sabah-Filipina.
Bagaimanapun, beliau menegaskan setiap kerjasama tenaga serantau perlu memberikan manfaat ekonomi yang jelas, meningkatkan keselamatan tenaga serta tidak menjejaskan keperluan bekalan elektrik domestik Sabah.
Dalam pada itu, Masidi berkata Sabah turut mempunyai potensi besar dalam pembangunan tenaga boleh baharu termasuk solar, hidro, bioenergi dan geoterma, selain meneroka teknologi Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC).
Beliau turut mengalu-alukan penglibatan sektor swasta dan pendekatan pembiayaan inovatif bagi merealisasikan pembangunan infrastruktur tenaga, selain bergantung kepada sumber kewangan kerajaan.
Katanya, pelaburan dalam sektor tenaga juga perlu membuka lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan, di samping memperkukuh pembangunan kepakaran jurutera, juruteknik dan tenaga profesional Sabah.
“Sabah tidak hanya mahu menjadi penghubung geografi dalam rangkaian grid tenaga serantau, sebaliknya mahu menjadi peserta aktif dalam ekonomi tenaga serantau,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap bengkel berkenaan dapat menghasilkan keutamaan yang jelas dan tindakan konkrit bagi memastikan setiap cadangan pembangunan tenaga mempunyai asas teknikal, daya maju komersial dan mekanisme pembiayaan yang sesuai. – Info X