KOTA KINABALU: Kadar kemiskinan mutlak di negeri ini disasar dikurangkan kepada tiga hingga lima peratus menjelang 2030, berbanding 17.7 peratus yang direkodkan ketika ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata usaha juga diteruskan untuk mengekalkan kadar sifar miskin tegar menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Katanya, sasaran itu memerlukan pelan tindakan lebih komprehensif, bersepadu dan berorientasikan keberhasilan, bukan sekadar menambah bilangan program atau bantuan kepada rakyat.
Usaha itu, katanya turut memerlukan penetapan sasaran pengurangan bilangan Ketua Isi Rumah (KIR) miskin yang jelas dan boleh diukur setiap tahun menerusi Pelan Pembasmian Kemiskinan Negeri Sabah 2027-2030.
“Berdasarkan laporan sistem eKasih setakat 15 Oktober 2026, Sabah masih merekodkan seramai 55,555 Ketua Isi Rumah (KIR) dalam kategori miskin.
“Justeru, saya mahu angka ini dijadikan sebagai salah satu data asas bagi penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam pelan itu dengan sasaran pengurangan bilangan KIR miskin yang jelas dan boleh diukur setiap tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Simposium Kesejahteraan dan Transformasi Rakyat (KESTRA) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan, kadar kemiskinan mutlak di Sabah menurun daripada 19.7 peratus pada 2022 kepada 17.7 peratus pada 2024, manakala kemiskinan tegar berkurangan daripada 1.2 peratus kepada 0.7 peratus dalam tempoh sama.
Kerajaan negeri sebelum ini turut mengumumkan pencapaian angka sifar miskin tegar, namun Sabah masih mencatatkan kadar kemiskinan mutlak melebihi paras nasional dan tertinggi berbanding negeri lain.
Bagi mencapai sasaran itu, Hajiji mahu setiap kementerian dan agensi yang terbabit menetapkan sasaran intervensi dan melaporkan keberhasilan sebenar dalam membantu isi rumah keluar daripada kemiskinan secara mampan.
Katanya, pembangunan Dasar atau Garis Panduan Exit Policy Kemiskinan Negeri Sabah yang jelas dan bersesuaian dengan keadaan sosioekonomi rakyat negeri ini juga perlu dibangunkan.
“Kita tidak boleh hanya mengukur kejayaan berdasarkan jumlah penerima yang dikeluarkan daripada senarai kemiskinan, tetapi perlu memastikan mereka benar-benar mempunyai keupayaan untuk berdikari dan tidak kembali terjerumus ke dalam kitaran kemiskinan,” katanya.
Beliau berkata, indikator penilaian perlu diperhalusi dengan mengambil kira pendapatan isi rumah yang melepasi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) secara konsisten, pekerjaan atau sumber pendapatan stabil, kediaman selamat, kemampuan memenuhi keperluan asas dan pemilikan aset produktif.
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan ‘Exit Policy’ bukan bermaksud bantuan kerajaan dihentikan secara automatik apabila pendapatan penerima melepasi garis kemiskinan.
“Mekanisme secara berperingkat, pemantauan berterusan dan sokongan bersesuaian perlu disediakan, khususnya kepada keluarga yang masih berisiko kembali miskin.
“Semua program bantuan kerajaan termasuk Rumah Mesra SMJ, Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR), bantuan pendidikan, biasiswa, zakat, kebajikan, latihan kemahiran dan keusahawanan perlu diselaraskan dalam satu kerangka intervensi bersepadu,” katanya.
Beliau berkata, setiap kementerian dan agensi perlu mempunyai tanggungjawab jelas dengan penetapan agensi peneraju, tempoh pelaksanaan, sumber pembiayaan serta KPI yang benar-benar mengukur perubahan taraf hidup dan peningkatan pendapatan rakyat.
Hajiji turut menekankan kepentingan meneroka sektor ekonomi biru seperti perikanan, akuakultur dan pelancongan marin bagi menjana pendapatan rakyat.
Katanya, institusi pengajian tinggi perlu melahirkan graduan berkemahiran tinggi, manakala pihak industri perlu mempergiat pelaburan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
Dalam masa sama, katanya, nasib rakyat Sabah yang merantau ke Semenanjung Malaysia untuk mencari rezeki juga perlu diberi perhatian dengan memperbanyak peluang pekerjaan di negeri ini, agar mereka tidak lagi terpaksa berhijrah ke tempat lain.
Hajiji turut mengingatkan semua kementerian, jabatan dan agensi bahawa tahun 2030 bukanlah satu tempoh untuk menunggu, sebaliknya sasaran yang menuntut tindakan bermula dari sekarang.
“Saya tidak mahu pelan ini sekadar menjadi satu lagi dokumen dasar yang tersimpan tanpa pelaksanaan yang berkesan. Sebaliknya, saya mahu setiap perancangan diterjemahkan kepada tindakan, setiap bantuan memberikan impak dan setiap ringgit yang dibelanjakan membawa perubahan sebenar kepada kehidupan rakyat,” katanya. – Info X