‘Tamu’ CoBT di Suria Sabah 20-22 Nov – STB

November 17, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pameran Pelancongan Berasaskan Komuniti Sabah (CoBT) 2026 kembali untuk edisi kelapan dengan mengetengahkan konsep tamu tradisional bagi mempromosikan produk dan pengalaman pelancongan komuniti di negeri ini.

Dianjurkan Lembaga Pelancongan Sabah (STB), pameran selama tiga hari itu berlangsung dari 20-22 November 2026 di Pusat Beli Belah Suria Sabah.

Pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai, berkata konsep tamu mencerminkan tradisi masyarakat setempat yang menghimpunkan komuniti untuk menjalankan aktiviti jual beli serta memasarkan hasil keluaran mereka.

Semangat itu, katanya diterapkan dalam pameran berkenaan melalui usaha menghubungkan pengusaha pelancongan berasaskan komuniti dengan pengunjung dan pemain industri.

“Pameran tahun ini akan menampilkan 30 reruai pameran yang mewakili persatuan pelancongan dari pelbagai daerah, selain 12 reruai jualan yang dikendalikan ejen pelancongan berdaftar bagi mempromosi dan menawarkan pakej pelancongan berasaskan komuniti.

“Pengunjung berpeluang menerokai pelbagai destinasi pelancongan, membeli kraftangan tempatan, cenderamata, makanan dan minuman, selain membuat tempahan serta membeli pakej pelancongan secara terus sepanjang pameran berlangsung.

“Program ini turut merangkumi sesi perkongsian mengenai kelestarian dan agropelancongan, demonstrasi kraftangan dan penyediaan makanan tradisional, pertandingan mewarna kanak-kanak dan permainan tradisional,” katanya pada sidang media, di sini, pada Selasa.

Joniston berkata, pameran itu menyokong agenda Kerajaan Negeri untuk membangunkan pelancongan di luar destinasi utama dan memperkukuh penyertaan komuniti luar bandar dalam industri pelancongan negeri secara lebih meluas.

Beliau berkata, usaha turut dilaksanakan untuk menambah baik pengumpulan data pelancongan luar bandar menerusi platform Rural Tourism E Connectivity (RuTEC) yang mula dilaksanakan sebagai projek perintis di Kiulu pada Julai 2025.

Katanya, projek yang dibangunkan dengan kerjasama syarikat teknologi tempatan, Datablu itu membolehkan pengusaha pelancongan merekodkan tempahan dan e-resit, selain menyediakan maklumat mengenai kecenderungan tingkah laku pengunjung.

“STB kini dalam usaha memperluaskan penggunaan platform berkenaan ke kawasan lain. Data pelancongan yang lebih menyeluruh akan membantu kita memahami prestasi destinasi, minat pengunjung serta aspek yang perlu ditambah baik, sekali gus membolehkan perancangan dibuat dengan lebih berkesan bagi menyokong perkembangan pelancongan berasaskan komuniti.

“Menjelang Tahun Melawat Sabah 2027, kita mahu lebih banyak destinasi komuniti mendapat pendedahan dan menarik kunjungan pelawat.

“Pada masa sama, kita mahu membuka peluang kepada pengusaha tempatan untuk menambah baik produk, meluaskan pasaran serta memperoleh manfaat ekonomi daripada pertumbuhan sektor pelancongan,” katanya.

Katanya, ia termasuk kempen ‘Bah, Lakastah Kitani Ke Sabah’ yang berlangsung dari 21 November – 31 Disember 2026, menawarkan tawaran istimewa kepada pasaran Brunei di samping menggalakkan pengunjung meneroka pengalaman CoBT selain aktiviti kebiasaan mereka seperti membeli-belah.

Pameran CoBT tahun ini, katanya menyasarkan kehadiran kira-kira 3,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran, termasuk penduduk tempatan, keluarga, pelajar serta pelancong domestik dan antarabangsa yang berkunjung ke Sabah. – Info X