Baru 15 dan 16 tahun, dua remaja disyaki curi motosikal

November 17, 2026

Info X Reporters

KENINGAU: Usia baru mencecah 15 dan 16 tahun, namun dua remaja lelaki sudah disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri motosikal sehingga membawa kepada penahanan mereka oleh polis, hari ini.

Penahanan kedua-dua remaja tempatan itu turut membawa kepada penemuan dua rangka motosikal, enjin serta pelbagai komponen motosikal yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan curi.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, kedua-dua suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau di Kampung Binaong.

Katanya, tangkapan dibuat susulan laporan kehilangan sebuah motosikal di kawasan Taman Fajar, Ahad lalu.

“Hasil tindakan polis, dua rangka motosikal, dua enjin termasuk satu yang masih bersama rangka, satu set penutup badan motosikal, sebuah ekzos, dua rim bersama tayar serta empat komponen enjin berjaya dirampas.

“Pemeriksaan awal terhadap nombor casis dan enjin mendapati beberapa barang rampasan dipercayai mempunyai kaitan dengan laporan kehilangan motosikal yang sedang disiasat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Erwansyah berkata, polis turut mengesan kemungkinan kedua-dua remaja terbabit dalam satu lagi kes curi motosikal yang dilaporkan sebelum ini di daerah berkenaan.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti kemungkinan pembabitan individu lain serta mengesan kaitan dengan kes kecurian motosikal yang lain.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

“Bagaimanapun, memandangkan kedua-dua suspek masih di bawah umur, tindakan siasatan dan proses perundangan dilaksanakan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 serta undang-undang berkaitan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau aktiviti serta pergaulan anak-anak bagi mengelakkan mereka terjebak dalam kegiatan jenayah.

“Orang ramai juga dinasihatkan menggunakan kunci keselamatan tambahan dan meletakkan motosikal di kawasan selamat bagi mengelakkan kejadian kecurian.

“Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes curi motosikal diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran,” katanya. – Info X