Warga emas maut dilanggar ketika melintas jalan, pemandu lesap

November 17, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Seorang warga emas maut selepas dipercayai dilanggar sebuah kenderaan yang melarikan diri ketika cuba melintas jalan di Jalan Utara Batu 4, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 pagi itu, mangsa lelaki berusia 73 tahun mengalami kecederaan sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent (HDOK), Sandakan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sedang melintas ke seberang jalan sebelum dilanggar sebuah kenderaan.

Katanya, kenderaan terbabit yang belum dikenal pasti jenis dan nombor pendaftarannya dipercayai melarikan diri selepas kejadian.

“Mangsa kemudian dibawa ke HDOK Sandakan untuk mendapatkan rawatan di Zon Merah.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan oleh pegawai perubatan bertugas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

George berkata, polis kini giat menjalankan siasatan bagi mengesan kenderaan serta pemandu yang terbabit dalam kejadian langgar lari berkenaan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) supaya tampil membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Faiz di talian 089-242222 sambungan 127,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Info X