KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah mengundang Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad melawat Sipitang dan Beaufort bagi meninjau kemudahan kesihatan di dua daerah itu.
Katanya, lawatan itu penting supaya kementerian dapat melihat sendiri keadaan di lapangan, sekali gus mengambil tindakan segera.
“Jangan biarkan jarak geografi menjadi jarak perhatian, jangan biarkan pedalaman menjadi pinggiran pembangunan dan jangan biarkan rakyat kami menunggu terlalu lama untuk menikmati hak kesihatan yang sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, pada Selasa.
Katanya, kemudahan asas, kelengkapan dan perjawatan kesihatan di Sipitang dan Beaufort perlu diberi perhatian segera.
Matbali merujuk keadaan kuarters Klinik Kesihatan Sipitang dan Klinik Kesihatan Meligan yang diklasifikasikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai Tidak Ekonomi Dibaiki (TEB) serta Tidak Selamat Diduduki.
“Daripada keseluruhan 32 unit kuarters kesihatan di daerah Sipitang, sebanyak 20 unit, iaitu 62.5 peratus, telah diklasifikasikan sebagai daif atau tidak selamat,” katanya.
Katanya, sebahagian kuarters berkenaan telah berusia puluhan tahun.
“Kuarters kayu Klinik Kesihatan Sipitang dibina pada 1991, kuarters papan Klinik Kesihatan Sindumin pula dibina seawal tahun 1965, sementara kuarters Klinik Kesihatan Long Pasia dibina pada tahun 1980.
“Lebih malang, kuarters Klinik Pantai dan sebuah Klinik Kesihatan Kampung Bukau, Beaufort telah dirobohkan bagi memberi laluan kepada Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB), namun sehingga kini belum digantikan dan mereka kini menumpang bangunan Balai Raya Kampung Lumadan sebagai tapak operasi,” katanya.
Beliau turut memohon kementerian menimbangkan segera perolehan ambulans tambahan di Hospital Sipitang yang kini hanya mempunyai empat ambulans, termasuk dua yang sudah uzur serta kerap rosak.
Mengenai projek naik taraf Hospital Beaufort, Matbali meminta penjelasan status projek itu yang gagal disiapkan mengikut jadual pada 2022 dan kontraktor ditamatkan pada 2024.
Sehubungan itu, beliau memohon kementerian menimbangkan cadangan pembinaan Hospital Pakar Baharu Beaufort di kawasan Selagon atau Padas Valley.
“Keperluan ini semakin mendesak memandangkan Hospital Beaufort menyediakan pelbagai perkhidmatan kepakaran, sedangkan kapasiti pembangunan di tapak sedia ada semakin terhad,” katanya.
Mengenai kakitangan, Matbali berkata isu kekurangan pakar dan pegawai perubatan juga memerlukan perhatian segera.
Pada masa ini, katanya, perjawatan pegawai psikologi kaunseling amat terhad, dengan hanya dua orang pegawai, masing-masing seorang di Klinik Kesihatan Sipitang dan seorang di Beaufort.
“Manakala Hospital Beaufort hanya mempunyai seorang pakar anestesiologi, pediatrik dan pakar bedah.
“Lebih membimbangkan terdapat perkhidmatan yang masih belum mempunyai jawatan pakar, antaranya obstretik dan ginekologi, patologi dan psikiatri,” katanya. – Info X