KOTA KINABALU: Sebuah banglo di taman perumahan Damai, di sini, dipercayai dijadikan pusat operasi sindiket penipuan dalam talian yang menyasarkan mangsa dari beberapa negara sebelum kegiatan itu terbongkar dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, semalam.
Dalam serbuan Ops Serkap kira-kira jam 11 pagi itu, seramai 12 lelaki warga China berusia antara 20 hingga 43 tahun ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, serbuan itu turut membawa kepada rampasan 153 telefon bimbit jenama Apple pelbagai model, 11 komputer, satu unit pemprosesan pusat (CPU) dan 13 penghala internet (router).

Katanya, pemeriksaan terhadap peralatan komputer di premis berkenaan turut menemukan rekod transaksi kewangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan penipuan dalam talian.
“Ketika serbuan, sebanyak 10 komputer sudah dilog keluar, namun satu lagi masih aktif dan membolehkan pasukan kami melihat transaksi yang dijalankan.
“Antara transaksi yang dikesan membabitkan pembayaran kira-kira RM3,900, manakala transaksi lain dianggarkan antara RM3,890 hingga RM6,140,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung Ops Serkap, Ibu Pejabat JIM Sabah, di sini, hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kegiatan berkenaan dipercayai menyasarkan mangsa dari beberapa negara termasuk China, India, Kemboja dan Vietnam.
Katanya, kegiatan itu bukan membabitkan penipuan percintaan atau love scam, sebaliknya lebih menjurus kepada penipuan kewangan dalam talian.

“Siasatan juga mendapati kumpulan ini dipercayai sering berpindah dari satu premis ke premis lain bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.
“Apabila mereka menyedari pergerakan sedang dipantau, mereka akan berpindah ke lokasi lain, menyebabkan pasukan risikan perlu terus menjejaki mereka,” katanya.
Sitti Saleha berkata, daripada 12 lelaki yang ditahan, empat didapati melakukan kesalahan tinggal lebih masa dan penyalahgunaan pas, manakala lapan lagi gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
Katanya, semua mereka disiasat mengikut peruntukan berkaitan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Selain telefon bimbit dan komputer, kita turut merampas sebuah mesin pencetak, tujuh pengecas, 22 kad SIM, tiga pasport China serta pelbagai mata wang asing.
“Kita juga sedang menyiasat pihak yang bertanggungjawab menyewa premis dan menggaji warga asing terbabit untuk menjalankan kegiatan ini,” katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut turut dijalankan bagi mengenal pasti kemungkinan wujudnya pihak yang melindungi pendatang asing tanpa izin di premis berkenaan.
Dalam perkembangan berasingan, Sitti Saleha berkata, JIM Sabah turut menahan dua warga China yang dikesan menjalankan kegiatan menjaja barangan di kawasan tamu di Keningau, pada 5 November lalu.
Katanya, seorang daripada mereka memegang pas ekspatriat, manakala seorang lagi menggunakan pas lawatan sosial sebagai pelancong.
“Kedua-duanya didapati menjalankan kegiatan perniagaan menjual barangan dari China dengan membentangkan tikar di atas tanah.
“Kita memandang serius penyalahgunaan pas ini dan tindakan juga boleh diambil terhadap majikan yang membenarkan pekerja menjalankan kegiatan selain daripada yang diluluskan,” katanya.
Sitti Saleha turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya mengesan kehadiran warga asing yang mencurigakan atau premis yang disyaki digunakan bagi kegiatan menyalahi undang-undang. – Info X