Kakitangan JKNS maut ketika dalam perjalanan ke tempat kerja

November 18, 2026

Info X Reporters

PAPAR: Seorang kakitangan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) maut dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Kilometer 8, Jalan Papar – Beaufort, awal pagi tadi.

Mangsa lelaki berusia 46 tahun dipercayai sedang menunggang motosikal dari arah Papar menuju ke Membakut sebelum terbabit dalam kemalangan kira-kira jam 4.30 pagi.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan anggota badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan Hospital Papar.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan kerosakan pada bahagian belakang motosikal jenis Honda yang ditunggang mangsa.

Pegawai penyiasat menjalankan siasatan di lokasi kejadian di Kilometer 8, Jalan Papar – Beaufort, Papar.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan kemalangan itu membabitkan sebuah kenderaan lain yang masih belum dikenal pasti.

“Bagaimanapun, punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan termasuk menentukan sama ada mangsa terbabas sendiri atau dilanggar kenderaan lain.

“Polis kini sedang giat mengesan kenderaan yang mungkin terbabit selain mendapatkan maklumat daripada saksi bebas bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Heryan berkata, orang ramai khususnya pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan sekitar waktu kejadian diminta tampil sekiranya mempunyai sebarang maklumat.

Keadaan motosikal ditunggang mangsa selepas terbabit kemalangan di Kilometer 8, Jalan Papar – Beaufort, Papar.

“Maklumat boleh disalurkan kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor El Najeeb Abdul Rhahman di talian 016-8813880,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, semua pengguna jalan raya turut dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mematuhi peraturan lalu lintas dan mengutamakan keselamatan terutama ketika memandu pada waktu malam serta awal pagi. – Info X