Lelaki Filipina didakwa bunuh warga emas di Bongawan

November 18, 2026

Info X Reporters

PAPAR: Seorang lelaki warga Filipina dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang warga emas di sebuah rumah di Kampung Gading, Ulu Bongawan, awal bulan ini.

Tertuduh, Teddy S Jalao, 33, didakwa membunuh Duin Kittchi, 75, yang juga warga tempatan, di sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan antara jam 1 tengah hari hingga 5.40 petang pada 7 November lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sekurang-kurangnya 12 sebatan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, sekiranya sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 21 Disember depan untuk sebutan semula kes dan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kareena Kaur Gill Karamjit Singh, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, media melaporkan kejadian pembunuhan itu dipercayai berpunca daripada perselisihan berkaitan hutang pembelian barangan runcit antara suspek dengan mangsa.

Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian. – Info X