SANDAKAN: Lebih 10,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) pelbagai warganegara dihantar pulang ke negara asal masing-masing dari Sabah sepanjang tahun ini, termasuk 767 orang yang dipindahkan, hari ini.
Daripada jumlah keseluruhan 10,006 tahanan PATI yang dihantar pulang setakat ini, warga Filipina mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 7,670 orang, diikuti Indonesia seramai 1,960 orang.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam kenyataan malam ini memaklumkan, seramai 755 PATI warga Filipina dihantar pulang menerusi Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina, hari ini.

Katanya, pemindahan menerusi kapal MV Antonia 1 itu membabitkan tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar dan Sandakan.
“Kesemua tahanan terdiri daripada 669 lelaki dewasa, 63 wanita dewasa, 14 kanak-kanak lelaki dan sembilan kanak-kanak perempuan berusia antara enam bulan hingga 69 tahun.
“Kanak-kanak yang terbabit dalam program pemindahan ini turut diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing,” menurut kenyataan itu.

JIM Sabah memaklumkan, pada hari sama, seramai 12 lagi PATI dipindahkan melalui udara dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum meneruskan perjalanan ke negara asal.
Pemindahan itu membabitkan 10 lelaki warga Pakistan, seorang lelaki warga India dan seorang wanita warga Vietnam.
Menurut kenyataan itu, selain Filipina dan Indonesia, tahanan yang dihantar pulang sepanjang tahun ini turut membabitkan 156 warga China, 153 warga Pakistan, 30 warga Vietnam serta 37 warga negara lain termasuk India.
“Semua tahanan yang dipindahkan sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan.
“Mereka juga memiliki dokumen perjalanan atau Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) yang sah bagi membolehkan proses penghantaran pulang dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, JIM Sabah berharap kerjasama Kedutaan Filipina dapat dipertingkatkan khususnya dalam mempercepatkan pengeluaran dokumen perjalanan bagi melancarkan proses penghantaran pulang.

Katanya, langkah berkenaan penting bagi mengurangkan kesesakan di depot imigresen seluruh Sabah.
Dalam perkembangan sama, JIM Sabah turut menggesa majikan menyertai program pendataan digital warga asing yang dilaksanakan kerajaan negeri bagi merekod dan mengurus keberadaan pekerja asing, khususnya dalam sektor perladangan.
“Inisiatif itu dijangka membantu menangani isu dokumentasi serta lambakan PATI di negeri ini.
“JIM Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang didapati melindungi atau menggaji pekerja asing tanpa permit dan dokumen sah.
“Majikan yang melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 termasuk denda RM50,000, hukuman penjara dan sebatan bagi kesalahan tertentu berkaitan perlindungan atau persubahatan membabitkan PATI,” katanya. – Info X