KOTA KINABALU: ‘Muafakat Sabah’ dicadang diwujudkan di Sabah sebagai platform kerjasama baharu politik di antara Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Idea itu dikemukakan Ketua UMNO Tenom, Datuk Raime Unggi sebagai landasan baharu kerjasama politik menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Bekas Ahli Parlimen Tenom itu berkata, pendekatan itu bermatlamat memperkukuh kestabilan politik dan memastikan pembangunan negeri ini terus menjadi keutamaan.
Katanya, Muafakat Sabah bukan sekadar kerjasama menghadapi pilihan raya, sebaliknya satu usaha membina persefahaman politik yang lebih kukuh bagi memastikan pentadbiran negeri kekal stabil dan kepentingan rakyat terus terpelihara.
“Sudah tiba masanya kita melihat politik Sabah dalam kerangka yang lebih besar. Saya membawa idea Muafakat Sabah kerana percaya BN dan GRS mempunyai asas kerjasama yang boleh diperkukuh demi masa depan negeri.
“Pengalaman Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Januari lalu menjadi contoh jelas.
“Jentera GRS turut membantu calon BN sehingga menyumbang kepada kemenangan besar dalam kedua-dua pilihan raya itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Raime yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, berkata kerjasama antara parti penting bagi memastikan kestabilan politik dapat dikekalkan.
Perkara itu, katanya penting bagi membolehkan pentadbiran negeri berjalan lancar, mabakala agenda pembangunan dilaksanakan tanpa gangguan.
Beliau berkata, Muafakat Sabah juga boleh menjadi asas hubungan yang lebih erat di antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, khususnya dalam mempercepat pembangunan, menyelesaikan isu kemudahan asas dan memperjuangkan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Muafakat Sabah yang saya ketengahkan bukan sekadar untuk menghadapi PRU16. Matlamat lebih besar ialah memastikan Sabah mempunyai kestabilan politik, pentadbiran yang kukuh dan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan.
“Kemenangan pilihan raya hanya permulaan. Kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat adalah matlamat sebenar Muafakat Sabah,” katanya.-Info X