Dua lagi remaja 14 tahun ditahan, polis bongkar kes curi motosikal

November 19, 2026

Info X Reporters

KENINGAU: Polis menahan dua lagi remaja lelaki masing-masing berusia 14 tahun bagi membantu siasatan kes curi motosikal susulan penahanan seorang remaja berusia 16 tahun di daerah ini, Isnin lalu.

Kedua-dua remaja terbabit ditahan di sebuah rumah di Kampung Marasak, di sini, kira-kira jam 3.30 petang, semalam.

Tangkapan terbaharu itu menjadikan keseluruhan tiga remaja berusia antara 14 hingga 16 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam kejadian curi motosikal di daerah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, penahanan itu adalah hasil perkembangan siasatan kes kehilangan sebuah motosikal Honda RS berwarna merah yang dilaporkan pada 16 Ogos lalu.

Katanya, motosikal berkenaan dilaporkan hilang selepas pemiliknya menyedari kenderaan itu tiada di hadapan sebuah premis perniagaan di Keningau.

“Susulan siasatan dijalankan, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau membuat pemeriksaan di sebuah rumah di Kampung Binacong pada 16 November lalu.

“Pemeriksaan membawa kepada penemuan satu rangka motosikal bersama enjin serta empat komponen enjin yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes kecurian berkenaan,” katanya dalam kenyataan media.

Erwansyah berkata, susulan penemuan itu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan pada 18 November lalu bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya, polis turut merampas sekeping plat nombor pendaftaran kenderaan di kawasan Jalan Padang Tembak, di sini, yang dipercayai dapat membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga remaja terbabit dipercayai mempunyai peranan masing-masing dalam kejadian kecurian motosikal berkenaan.

“Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan bagi mendapatkan keterangan sokongan serta menentukan penglibatan sebenar setiap individu termasuk kemungkinan kaitan dengan kes lain,” katanya.

Menurutnya, semakan awal nombor casis dan enjin terhadap barang rampasan menunjukkan terdapat komponen yang mempunyai kaitan dengan motosikal dilaporkan hilang.

“Jumlah kerugian dialami pengadu dianggarkan RM5,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta boleh dikenakan denda,” katanya.

Beliau berkata, memandangkan semua suspek masih di bawah umur, proses siasatan dan tindakan perundangan dilaksanakan dengan mengambil kira peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pemilik motosikal supaya menggunakan kunci keselamatan tambahan dan meletakkan kenderaan di kawasan selamat bagi mengelakkan kejadian kecurian.

“Ibu bapa dan penjaga juga perlu sentiasa memantau aktiviti serta pergaulan anak-anak supaya tidak terjebak dalam kegiatan jenayah.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes curi motosikal diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran,” katanya. – Info X