SPRM beri 3 syor tambah baik tatakelola Sabah Electricity

November 19, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah mengemukakan tiga syor penambahbaikan tatakelola membabitkan amalan, sistem dan tatacara kerja pengurusan Jadual Harga Tetap (JHT) kenderaan milik Sabah Electricity.

Pengarahnya, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah, berkata syor itu dikemukakan menerusi Cawangan Penyiasatan Tatakelola SPRM Sabah dan dibentangkan beliau di Ibu Pejabat Sabah Electricity, di sini, pada Isnin lalu.

Katanya, syor pertama ialah mewujudkan satu garis panduan berkaitan pelantikan vendor secara tender atau sebut harga di bawah seliaan Fleet Management Unit, termasuk mengemas kini JHT secara berkala mengikut harga pasaran semasa dan memperluas skop item alat ganti yang kerap digunakan.

“Syor kedua ialah memastikan semua kerja pembaikan dilaksanakan selepas sebut harga diterima, semakan dibuat dan Pesanan Belian (PO) diluluskan, di samping melaksanakan semakan silang yang ketat terhadap invois, alat ganti dan rekod pembaikan.

“Manakala syor terakhir ialah menilai semula beban tugas pegawai penyelia kenderaan di Kawasan Tawau bagi memastikan pengasingan tugas dapat dilaksanakan dengan berkesan demi memperkasakan kawalan dalaman dan tadbir urus syarikat,” katanya.

Pembentangan syor itu diadakan sempena majlis menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola di antara Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir Mohd Yaakob Jaafar dan Mohd Fuad.

Turut hadir Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Sabah, Alexander S Kunghi; Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola SPRM Sabah, Hamsia Abdul Ham; Ketua Pegawai Operasi Presiden Sabah Electricity, Ir Mohd Riza Zalmee Mohd Chazali; Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat Sabah Electricity, June Francisca Abbie@Junainah Abbie; dan Ketua Pegawai Integriti dan Tadbir Urus Sabah Electricity, Hamizah Hussain.

Syor penambahbaikan yang dikemukakan SPRM itu disambut baik Sabah Electricity dalam usaha menambah baik sistem tatakelola syarikat utiliti berkenaan.-Info X