KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah akan mempertahankan tiga kerusi Parlimen yang disandangnya ketika ini, selain menambah beberapa kerusi lain yang berpotensi dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.
Pengerusinya, Datuk Mustapha Sakmud, berkata tiga kerusi terbabit iaitu Sepanggar yang disandangnya, Kota Kinabalu dan Sandakan yang diwakili DAP sudah pasti ditandingi PH.
Beliau berkata, perkara itu dipersetujui kepemimpinan PH Sabah dalam perundingan kerusi dengan gabungan atau parti lain yang bekerjasama dengan mereka pada pilihan raya itu nanti.
“Kita bincang kerusi yang kita akan bertanding pada pilihan raya umum nanti dan keputusan asas kita ialah mempertahankan kerusi Parlimen Sepanggar, Kota Kinabalu dan Sandakan.
“Selain itu, kita juga melihat potensi untuk bertanding di kerusi lain tanpa menjejaskan kerjasama dengan rakan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat PH Sabah, di sini, pada Jumaat.
Mesyuarat itu turut dihadiri Pengerusi AMANAH Sabah, Datuk Lahirul Latigu; Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Datuk Chan Foong Hin dan Setiausaha PH Sabah, Datuk Ruji Ubi.
Mustapha bagaimanapun enggan menamakan atau menjelaskan berapa kerusi berpotensi lain yang diintai PH Sabah dan menjelaskan rundingan kerjasama dengan rakan politik lain, khususnya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi PRU16 masih belum rasmi.
“Perbincangan secara rasmi (dengan GRS) belum ada, setakat ini hanya perbincangan yang tidak rasmi,” katanya.
Mengenai cadangan Barisan Nasional (BN) Sabah mewujudkan Muafakat Sabah dengan GRS, Mustapha berkata perkara itu adalah pandangan mereka yang bebas untuk disuarakan.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), PH Sabah bertanding di 24 kerusi, dengan PKR paling banyak iaitu 10 kerusi, diikuti DAP tujuh kerusi, namun hanya memenangi tiga kerusi iaitu Sepanggar, Kota Kinabalu dan Sandakan.-Info X