KOTA KINABALU: Cadangan ke arah memperkukuh hubungan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan rakan kerjasamanya disifatkan sebagai langkah penting bagi mengekalkan kestabilan politik negeri ini.
Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Mohamed Razali Razi, sehubungan itu mengalu-alukan cadangan yang dikemukakan oleh pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah itu.
“Pada masa ini, GRS menerajui Kerajaan Negeri dengan kerjasama Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan rakan-rakan lain. Kerjasama ini penting bagi mengekalkan kestabilan politik serta memastikan urusan pentadbiran dan pembangunan negeri berjalan lancar.
“Kita telah melihat hasil kerjasama ini dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada Januari lalu. Kesepaduan jentera parti membantu memastikan kemenangan dengan majoriti besar di kedua-dua kerusi.
“Keputusan itu menunjukkan apa yang boleh dicapai apabila semua pihak bekerja bersama atas dasar persefahaman,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi dan Ketua UMNO Tenom, Datuk Raime Unggi menyuarakan cadangan mereka berhubung perkara itu, termasuk mengemukakan idea pembentukan Muafakat Sabah yang disertai BN dan GRS.
Razali yang juga ADUN Dilantik, berkata bagi GRS, keutamaan sekarang ialah memperkukuh kerjasama sedia ada dengan BN, PH dan rakan-rakan lain dalam Kerajaan Negeri.
Katanya, GRS akan terus memelihara hubungan itu atas dasar kepercayaan dan sikap saling menghormati.
“Kerjasama yang kukuh membolehkan Kerajaan Negeri terus mengutamakan agenda pembangunan negeri, memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan mempertahankan hak Sabah dalam Persekutuan Malaysia demi kepentingan rakyat Sabah,” katanya.-Info X