Siasat gangguan elektrik di hospital, pasang sistem bateri sokongan

November 21, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah menyuarakan kebimbangan serius susulan laporan seorang doktor sebuah hospital di negeri ini terpaksa menggunakan lampu telefon bimbit ketika prosedur perubatan selepas bekalan elektrik terputus.

Pengerusi YPNM Sabah, David Chan, berkata insiden yang dilaporkan The Star pada 17 November 2026 itu menimbulkan persoalan serius mengenai kebolehpercayaan sistem bekalan elektrik kecemasan di hospital kerajaan serta keselamatan pesakit yang menerima rawatan.

“Perkara ini amat serius dan tidak boleh dipandang ringan. Hospital ialah kemudahan kritikal yang memerlukan bekalan elektrik berterusan bagi melindungi nyawa.

“Gangguan bekalan elektrik walaupun untuk tempoh singkat ketika pembedahan atau rawatan kecemasan boleh mendedahkan pesakit kepada risiko yang tidak sepatutnya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menjalankan siasatan segera dan menyeluruh terhadap insiden berkenaan, termasuk memastikan sama ada generator kecemasan serta sistem bekalan kuasa tanpa gangguan (UPS) di hospital terbabit berfungsi dengan baik.

David menegaskan setiap hospital kerajaan, khususnya bilik bedah, unit rawatan rapi, jabatan kecemasan dan kemudahan perubatan kritikal lain, perlu dilengkapi sistem bekalan kuasa kecemasan yang boleh dipercayai.

“Generator diesel sokongan sahaja mungkin tidak mencukupi. Hospital juga perlu mempunyai sistem bateri UPS yang direka dengan baik dan mampu membekalkan elektrik serta-merta ketika berlaku gangguan bekalan.

“Ini bagi memastikan peralatan perubatan penting, lampu bilik bedah dan sistem sokongan hayat terus berfungsi tanpa gangguan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan Kerajaan Persekutuan menimbangkan peruntukan khas di bawah program pembangunan infrastruktur kesihatan negara bagi memasang atau menaik taraf Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) dan sistem UPS di hospital kerajaan seluruh Sabah, khususnya hospital yang kerap berdepan gangguan bekalan elektrik.

“Teknologi BESS, jika disepadukan dengan betul ke dalam infrastruktur elektrik hospital, boleh menyediakan kapasiti simpanan tambahan dan memperkukuh daya tahan tenaga. Sistem UPS pula membekalkan kuasa serta-merta sementara menunggu generator sokongan atau sumber sandaran lain beroperasi,” katanya.

Namun, beliau menegaskan kedua-dua teknologi itu perlu melengkapi generator kecemasan sedia ada dan tidak menggantikannya tanpa penilaian kejuruteraan yang sewajarnya.

“Cabaran geografi dan keadaan bekalan elektrik di Sabah memerlukan perhatian khusus. Kita tidak boleh menunggu sehingga tragedi besar berlaku sebelum infrastruktur hospital ditambah baik,” katanya.

YPNM turut mencadangkan KKM melaksanakan audit teknikal menyeluruh terhadap sistem bekalan kuasa kecemasan di semua hospital kerajaan di Sabah.

Audit itu, katanya perlu merangkumi ujian berkala terhadap generator sokongan, keadaan bateri UPS, suis pemindahan automatik dan sistem lampu kecemasan.

“Kerajaan Persekutuan perlu mengiktiraf pelaburan dalam infrastruktur bekalan elektrik hospital yang boleh dipercayai bukan satu kemewahan, sebaliknya satu keperluan.

“Setiap ringgit yang dibelanjakan untuk melindungi kemudahan perubatan kritikal ialah pelaburan bagi menjaga nyawa manusia,” katanya.

Beliau turut menghargai dedikasi petugas kesihatan yang terus memberikan khidmat kepada pesakit dalam keadaan mencabar.

“Kita memuji doktor dan petugas perubatan yang dilaporkan tetap meneruskan rawatan terhadap pesakit walaupun berlaku gangguan bekalan elektrik.

“Namun, petugas kesihatan tidak sepatutnya berada dalam keadaan terpaksa bergantung pada lampu suluh telefon bimbit untuk menjalankan prosedur perubatan penting,” katanya.

Katanya, YPNM berharap KKM memberikan penjelasan secara telus berhubung insiden itu serta mengumumkan langkah pembetulan yang konkrit bagi mencegah kejadian serupa daripada berulang.

“Keselamatan pesakit mesti sentiasa menjadi keutamaan. Hospital sepatutnya menjadi tempat nyawa diselamatkan, bukannya tempat nyawa terdedah kepada risiko akibat kegagalan infrastruktur yang boleh dicegah,” katanya.-Info X