KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar bahagian belakang sebuah kereta di Jalan Tuaran Batu 7, berhampiran Inanam Taipan, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 tengah hari itu, mangsa berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kemalangan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, kemalangan membabitkan sebuah motosikal Suzuki FU150 yang ditunggang mangsa dengan kereta Perodua Axia dipandu lelaki berusia 59 tahun.
Katanya, siasatan awal mendapati kereta berkenaan sedang bergerak lurus di lorong kiri jalan sebelum secara tiba-tiba dilanggar motosikal mangsa dari arah belakang.
“Impak pelanggaran berlaku pada bahagian belakang sebelah kanan kereta Perodua Axia berkenaan.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan dari Hospital Likas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Shahrudin berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk pemeriksaan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Brymenedren Godon di talian 010-7768802 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Polis turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, memandu secara berhemah dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya. – Info X