PAPAR: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) belum memutuskan hala tuju gabungan itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Setiausaha Agungnya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata perkara itu akan dibincangkan Majlis Tertinggi (MT) GRS apabila tiba masanya.
Katanya, antara perkara penting yang diambil kira ialah pandangan parti-parti komponen GRS berdasarkan suara ahli akar umbi dan isyarat yang diberikan rakyat pada PRU DUN Sabah 2025.
“Satu lagi ialah kepentingan mewujudkan kerajaan yang stabil di Persekutuan dan negeri untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat dan negeri,” katanya, di sini, pada Sabtu.
Katanya, apa yang penting ialah pertimbangan dan keputusan yang dibuat oleh kepimpinan secara kolektif melalui Majlis Tertinggi GRS.
“Dalam isu pokok dan dasar berkaitan kerjasama dan hala tuju politik, pandangan peribadi saya tidak penting, yang penting adalah pertimbangan dan keputusan yang dibuat oleh kepimpinan secara kolektif melalui Majlis Tertinggi GRS,” katanya.
Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) Sabah mencadangkan pembentukan Muafakat Sabah sebagai landasan baharu kerjasama politik di antara BN dan GRS bagi menghadapi PRU16.
Pada Jumaat pula, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud mengakui belum ada perbincangan secara rasmi mengenai kerjasama politik, termasuk dengan GRS.-Info X