Tolak ‘progressive interim’, laksanakan segera kelayakan 40 peratus Sabah – Jeffrey

November 22, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Bayaran interim secara progresif yang dicadangkan Pakatan Harapan (PH) Sabah bagi meningkatkan lagi jumlah pemberian khas interim dari Persekutuan tidak boleh diterima.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, berkata kerajaan negeri perlu menolak cadangan itu dan memastikan hak 40 peratus hasil Sabah dilaksanakan sepenuhnya.

Katanya, bayaran interim RM1.5 bilion yang diberikan kepada Sabah sepatutnya hanya untuk tahun ini sebagai penyelesaian sementara sehingga kerajaan Persekutuan dan negeri memuktamadkan bayaran penuh 40 peratus kepada negeri ini.

“Kenyataan menteri Persekutuan seperti dilaporkan media yang mencadangkan bayaran interim diteruskan untuk lima tahun bermula dengan RM1.5 bilion dan meningkat secara progresif setiap tahun adalah sesuatu yang mengelirukan.

“Jika pengaturan seumpama itu diputuskan, penerimaannya bermakna akan membenarkan bayaran interim mengambil alih kelayakan 40 peratus Sabah selama lima tahun.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri perlu menolak cadangan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu sudah membuat keputusan bahawa tiada semakan yang sewajarnya dilaksanakan sejak 1974 dan bahawa bayaran interim, walaupun diwartakan, tidak meniadikannya kelayakan 40 peratus pemberian khas.

“Kerajaan negeri perlu menolak bayaran interim seterusnya dan mengelak memberikan kesan undang-undang kepada bayaran tidak mematuhi undang-undang yang dibatalkan Mahkamah Tinggi,” katanya.

Ahli Parlimen Keningau itu berkata, sebagai Menteri Persekutuan Sabah dan Sarawak, Datuk Mustapha Sakmud perlu memastikan kelayakan 40 peratus diselesaikan dan dimuktamadkan secepat mungkin.

Tegasnya, kerajaan Persekutuan juga perlu menggunakan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang sebagai satu peluang untuk memastikan pemberian khas 40 peratus dibayar penuh sebelum hari mengundi.

“Dengan berbuat demikian, ia akan mewujudkan pertimbangan yang baik dan sokongan kepada kerajaan Persekutuan, di samping membetulkan ketidakadilan serius yang dialami Sabah dan rakyatnya selama lima dekad lalu.

“Kerajaan negeri pula mesti berdiri teguh mempertahankan hak Sabah dan mengakhiri kesukaran dihadapi rakyatnya yang berlarutan begitu lama,” katanya. – Info X