KOTA KINABALU: Nilai kontrak diperoleh syarikat tempatan Sabah dalam sektor minyak dan gas meningkat hampir sembilan kali ganda kepada lebih RM3 bilion tahun ini, berbanding kira-kira RM340 juta pada 2021.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata pencapaian itu mencerminkan peningkatan ketara penyertaan syarikat tempatan dalam industri minyak dan gas susulan pelaksanaan Commercial Collaboration Agreement (CCA) bersama PETRONAS pada 2021.
Beliau yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata menjelang akhir tahun ini, syarikat Sabah dijangka menguasai 50 peratus pegangan kontrak, sekali gus mencatatkan pencapaian tertinggi dalam sejarah penyertaan syarikat tempatan dalam sektor berkenaan.
Jelasnya, kejayaan itu turut didorong peranan aktif Sub-Jawatankuasa 4 (SC4) yang bekerjasama rapat dengan SMJ Energy, PETRONAS dan rakan pengendali industri dalam menterjemahkan dasar kerajaan negeri kepada peluang kontrak, pekerjaan serta pendapatan kepada syarikat tempatan.
“Penyertaan ekuiti dan hasil kepada negeri adalah penting, tetapi matlamat sebenar kita ialah memastikan perniagaan dan tenaga kerja tempatan turut menikmati manfaat secara langsung daripada kejayaan industri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam ‘Back to The 70’s’ anjuran Sabah Oil and Gas Services Council (SOGSC) di Magellan Sutera Resort, di sini, malam Sabtu.
Masidi yang juga Pengerusi SMJ Energy berkata, Kerajaan Negeri terus melaksanakan Pelan Hala Tuju Strategik OGSE Sabah menerusi lima komitmen utama bagi memperkukuh keupayaan dan meningkatkan daya saing syarikat tempatan dalam industri minyak dan gas.
Katanya, komitmen itu merangkumi pembukaan lebih banyak peluang bagi skop kerja bernilai tinggi, termasuk kerja-kerja kompleks di medan minyak dan gas sedia ada (brownfield) serta operasi laut dalam (deepwater).
Selain itu, katanya Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan kepada pembangunan jurutera dan juruteknik muda Sabah serta bekerjasama dengan rakan industri bagi menyediakan kemudahan pembiayaan lebih kompetitif.
Katanya, ia supaya vendor tempatan mempunyai akses kepada modal untuk melabur dalam peralatan dan meningkatkan keupayaan operasi.
“Komitmen seterusnya melibatkan pengukuhan proses pengesahan vendor dan semakan kandungan tempatan bagi memastikan peluang kontrak diberikan kepada syarikat Sabah yang benar-benar layak dan tulen.
“Kerajaan Negeri juga akan memastikan Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET), SMJ Energy, PETRONAS dan rakan pengendali industri terus bekerjasama bagi memastikan dasar yang dirangka selari dengan pelaksanaan sebenar di lapangan,” katanya.
Dalam pada itu, Masidi menegaskan syarikat tempatan perlu memberi tumpuan kepada empat aspek utama bagi memastikan mereka mampu berkembang dan kekal berdaya saing dalam industri.
Empat aspek itu, katanya ialah keupayaan teknikal, pembangunan tenaga kerja mahir, daya saing kos serta tadbir urus dan pematuhan.
Katanya, pemberian keutamaan kepada syarikat tempatan perlu disertai keupayaan vendor Sabah untuk menawarkan nilai, kos dan mutu perkhidmatan yang kompetitif.
Beliau turut memberi amaran terhadap amalan ‘Ali Baba’, iaitu penggunaan nama atau identiti syarikat tempatan sebagai proksi untuk mendapatkan kontrak, sedangkan pelaksanaan kerja dan manfaat ekonomi disalurkan kepada pihak lain.
“Kerajaan Negeri tidak akan bertolak ansur dengan jalan pintas seperti ini kerana ia menjejaskan integriti pelan pembangunan keupayaan yang dibangunkan bersama PETRONAS, selain merampas peluang syarikat Sabah yang benar-benar layak.
“Kerajaan Negeri akan terus memantau perkembangan ini, mengambil kira maklum balas industri serta melaksanakan tindakan sewajarnya berdasarkan hasil pemantauan,” katanya.
Masidi berkata, nilai hasil ekonomi yang kekal di Sabah melalui penglibatan vendor tempatan terus meningkat sejak CCA ditandatangani pada 2021.
Berdasarkan unjuran semasa, katanya jumlah itu dijangka melebihi RM8 bilion setahun menjelang 2031.
Katanya, pencapaian sasaran itu bergantung kepada keupayaan syarikat tempatan membangunkan kepakaran, melahirkan tenaga kerja mahir, meningkatkan daya saing serta mengekalkan integriti dalam menjalankan perniagaan.
Sehubungan itu, beliau turut menghargai peranan SOGSC sebagai penghubung antara kontraktor tempatan, syarikat pengendali dan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh kerjasama serta meningkatkan standard industri minyak dan gas Sabah.-Info X