Ride Sabah Motor Day dekatkan anak muda dengan masjid, jauhi dadah

November 23, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Minat terhadap dunia permotoran dijadikan pendekatan untuk menarik golongan muda mendekati masjid, mendalami ilmu agama serta menjauhi penyalahgunaan dadah menerusi Program Ride Sabah Motor Day (SMD) – Singgah Masjid Dulu 2026, di Masjid Nurussyakirin, Indah Jaya, di sini, semalam.

Program anjuran Skuad Antidadah Sandakan itu menghimpunkan peminat motosikal dan golongan muda dalam usaha membentuk generasi yang bukan sahaja berdisiplin di jalan raya, malah memiliki pegangan agama serta jati diri yang kukuh.

Pengerusi Skuad Antidadah Sabah, Datuk Haji Mazlan @ Joehari Haji Manan berkata, program berkenaan bukan sekadar perhimpunan peminat motosikal, sebaliknya membawa mesej penting mengenai peranan anak muda dalam membina kehidupan lebih positif.

Katanya, pendekatan melalui aktiviti permotoran dilihat mampu menjadi jambatan untuk mendekati golongan muda, sekali gus menyampaikan mesej pencegahan dadah secara lebih berkesan.

“Kita bukan sekadar mahu menghimpunkan peminat motosikal, tetapi mahu membuktikan bahawa anak muda yang mencintai dunia permotoran juga mampu menjadi generasi yang mencintai masjid, agama dan majlis ilmu.

“Minat kita mungkin pada motosikal, tetapi hati kita jangan jauh daripada Allah SWT.

“Kalau anak muda minat motosikal, kita masuk melalui dunia permotoran. Apabila berjaya menghimpunkan mereka, kita bawa mereka mendekati masjid dan mendengar ceramah agama,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada program berkenaan.

Program itu turut menampilkan pendakwah terkenal, Datuk Ustaz Kazim Elias yang menyampaikan pengisian kerohanian kepada peserta.

Hadir sama wakil Ahli Parlimen Batu Sapi, Mohd Amirul Amin Abdul Rasyid; Pengerusi Skuad Dua Roda Antidadah Sabah, Rudhi Hariyanto; Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Bahagian Sandakan, Aisyah Abdul Karim dan Pengerusi Skuad Antidadah Sandakan, Ustaz Haji Mohamad Sufan Bahrin.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata usaha membanteras penyalahgunaan dadah tidak seharusnya bergantung kepada tindakan penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya perlu bermula dengan pembinaan akhlak, jiwa dan jati diri golongan muda.

Menurutnya, Skuad Antidadah di seluruh Sabah perlu lebih kreatif melaksanakan program yang dekat dengan minat anak muda bagi memastikan mesej pencegahan dadah dapat disampaikan secara berterusan.

“Kita tidak boleh hanya menunggu anak muda datang kepada kita. Kitalah yang mesti turun mendekati mereka, memahami minat mereka dan membimbing mereka ke arah kehidupan lebih baik.

“Kita mahu Skuad Antidadah menjadi gerakan yang benar-benar turun ke lapangan, bukan sekadar bercakap mengenai bahaya dadah, tetapi turut membimbing generasi muda,” katanya.

Beliau turut berharap program Singgah Masjid Dulu dapat diperluaskan ke daerah lain di Sabah sebagai usaha menjadikan masjid pusat pertemuan, pengisian ilmu dan aktiviti kemasyarakatan golongan muda.

Katanya, peminat motosikal juga perlu membuktikan bahawa minat terhadap dunia permotoran boleh bergerak seiring dengan tanggungjawab terhadap agama, keluarga dan masyarakat.

“Kalau kita sanggup menunggang motosikal beratus-ratus kilometer untuk menyertai perhimpunan, mengapa kita tidak boleh menunggang beberapa kilometer untuk datang ke masjid?.

“Kalau kita boleh bangun awal pagi untuk menyertai konvoi, mudah-mudahan kita juga mampu bangun awal untuk menunaikan solat Subuh.

“Jadilah riders yang berilmu, berakhlak, menghormati ibu bapa, mematuhi peraturan jalan raya dan menjauhi dadah,” katanya.

Sementara itu, Mazlan turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk AADK, jawatankuasa Masjid Nurussyakirin, kelab permotoran serta Skuad Antidadah Sandakan yang menjayakan program berkenaan.

Terdahulu, semalam, seramai 100 penunggang motosikal menerima manfaat pengisian petrol tangki penuh secara percuma menerusi program komuniti anjuran Skuad Antidadah Sabah di Stesen Minyak Petronas Batu 2 1/2, di sini.

Program berkenaan diadakan sebagai acara pemanas tirai dan sokongan kepada penganjuran Ride SMD 2026 yang berlangsung hari ini.

Inisiatif itu turut menjadi antara pendekatan mendekati komuniti permotoran, selain menggalakkan penyertaan mereka dalam aktiviti kerohanian dan kemasyarakatan.

Mazlan berharap program seumpama itu dapat diteruskan bagi melahirkan generasi penunggang motosikal yang berdisiplin, berakhlak dan bebas daripada penyalahgunaan dadah. – Info X