Kampung Pondo: Minta tangguh perobohan, bukan halang tindakan kerajaan – KSBM

November 23, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pertubuhan Komuniti Suluk Bajau Bersatu Malaysia (KSBM) merayu agar Kerajaan Negeri dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menimbangkan penangguhan sementara tindakan perobohan setinggan di Kampung Pondo, Pulau Gaya yang dijadualkan pada 30 November ini.

Presiden KSBM, Kapten Dr Zulfikar Zulkifli (B), berkata rayuan itu atas pertimbangan kemanusiaan dan pendidikan anak-anak penduduk, terutama yang sedang menduduki peperiksaan, khususnya SPM dan STPM.

Katanya, usu penempatan di Kampung Pondo bukan perkara baharu, malah sudah berlarutan sejak sekian lama dengan rekod tindakan penguatkuasaan sejak 2002.

Beliau menegaskan KSBM tidak menentang hak kerajaan untuk melaksanakan pembangunan demi kepentingan rakyat, namun aspek kemanusiaan dan kebajikan masyarakat yang terkesan perlu diberikan perhatian sewajarnya.

“Antara perkara yang menjadi kebimbangan utama KSBM ialah nasib anak-anak penduduk yang sedang menghadapi peperiksaan SPM 2026, dari 23 November hingga 17 Disember serta Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Semester 3, yang berlangsung pada 17 hingga 26 November ini.

“Sehubungan itu, KSBM memohon agar tindakan perobohan ditangguhkan sekurang-kurangnya satu hingga dua bulan bagi memberi peluang kepada pelajar menumpukan perhatian terhadap peperiksaan tanpa dibebani tekanan akibat kehilangan tempat tinggal dan ketidaktentuan keadaan keluarga,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, tempoh peperiksaan adalah fasa penting yang boleh menentukan hala tuju pendidikan dan masa depan anak-anak yang wajar diberikan ruang dan ketenangan untuk memperoleh keputusan terbaik serta berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, KSBM berpandangan penangguhan sementara itu tidak bermaksud menghalang atau membatalkan perancangan pembangunan kerajaan, sebaliknya satu bentuk pertimbangan kemanusiaan bagi memastikan kebajikan penduduk, khususnya generasi muda, tidak terabai.

“KSBM berharap agar rayuan ini mendapat perhatian dan pertimbangan sewajarnya daripada Kerajaan Negeri dan DBKK demi mencari penyelesaian yang mengambil kira kepentingan pembangunan, tanggungjawab undang-undang dan nilai kemanusiaan serta masa depan anak-anak Sabah.

“Pembangunan penting untuk masa depan negeri, tetapi masa depan anak-anak tidak harus terpinggir dalam proses membina kemajuan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, dilaporkan berkata kerajaan negeri sedia menimbangkan untuk menangguhkan operasi perobohan setinggan Kampung Pondo dengan mengambil kira situasi pelajar yang menduduki SPM. – Info X