KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Ir Dr Rosalam Sarbatly, secara rasmi memulakan tugas sebagai Naib Canselor baharu universiti itu berkuatkuasa 23 November 2026.
Beliau adalah Naib Canselor kelapan UMS, menggantikan Prof Datuk Dr Kasim Mansor yang memegang jawatan itu sejak Oktober 2022.
Perubahan tampuk kepemimpinan UMS itu berdasarkan maklumat di Facebook rasmi UMS yang merakamkan ucapan tahniah dan mengalu-alukan pelantikan Rosalam sebagai Naib Canselor UMS kelapan.
“Dengan penuh rasa syukur dan penghargaan, kami menyambut kepimpinan baharu ini dengan harapan agar UMS terus melakar kecemerlangan, meneroka potensi baharu serta melangkah lebih jauh sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang disegani.
“Selamat menerajui UMS. Semoga amanah yang diberikan dipermudahkan dan perjalanan kepimpinan ini membawa lebih banyak kejayaan buat universiti serta seluruh warganya,” katanya.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan UMS turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kasim atas segala khidmat bakti, komitmen dan kepimpinan beliau sepanjang memegang jawatan Naib Canselor UMS.
“Sepanjang tempoh kepimpinan beliau, pelbagai pencapaian, inisiatif dan usaha telah dilaksanakan dalam meneruskan kecemerlangan universiti, merancakkan pembangunan akademik dan penyelidikan, memperluas jaringan kerjasama serta memperkukuh peranan UMS sebagai institusi pendidikan tinggi yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
“Segala sumbangan, cetusan idea dan legasi kepimpinan yang ditinggalkan akan terus menjadi sebahagian daripada perjalanan serta sejarah pembangunan UMS.
“Sesungguhnya, setiap usaha dan bakti yang dicurahkan amat bermakna dan akan sentiasa dikenang.
“Terima kasih, Datuk Kasim. Jasa dan sumbangan Datuk akan terus terpahat dalam ingatan seluruh warga UMS,” katanya.
Kasim menduduki jawatan Naib Canselor UMS sejak 3 Oktober 2022, sebelum dilantik buat kali kedua berkuatkuasa pada 3 Oktober 2025. – Info X