Ustaz direman seminggu untuk siasatan kes amang seksual

November 24, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Mahkamah Majistret membenarkan perintah remah tujuh hari terhadap seorang guru agama bagi membantu siasatan berhubung kes amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah madrasah, di sini, hari ini.

Majistret Don Stiwin Malanjum mengeluarkan perintah itu yang berkuatkuasa mulai hari ini hingga 1 Disember depan selepas menerima permohonan pegawai penyiasat polis, Inspektor Nurul Amira Razali.

Permohonan reman dibuat bagi membolehkan pihak polis meneruskan siasatan berhubung kes itu memgikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Berdasarkan fakta kes, mangsa didatangi suspek ketika pelajar perempuan itu sedang menggosok pakaian di ruang tamu madrasah pada jam 5.15 malam, 13 November lalu.

Suspek kemudian dikatakan meminta mangsa membuka tudung purdah sambil menyatakan hasrat untuk mencium pipinya.

Lelaki berkenaan turut didakwa memegang tangan dan cuba menarik purdah mangsa sebelum pelajar berkenaan beredar dari lokasi kejadian.

Selain kejadian itu, suspek juga didakwa pernah menghampiri mangsa di bilik pengajian Al-Quran dan berbisik di telinganya dengan menyatakan hasrat yang sama.

Tiada saksi melihat kedua-dua insiden itu, selain tiada kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan memaklumkan kejadian itu kepada tiga rakannya.

Mangsa juga mendakwa suspek pernah melakukan perbuatan sama terhadap beberapa pelajar perempuan lain di madrasah berkenaan dan ia masih dalam siasatan.

Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada jam 11.11 malam, 14 November lalu.

Sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah kemudian menahan suspek di tepi jalan di Lorong 6B, Taman Ria 6B, Jalan Utara, di sini, pada kira-kira jam 5 petang, Isnin.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017. – Info X