KOTA KINABALU: Sekumpulan penduduk dari penempatan Kampung Pondo, Pulau Gaya yang turut disertai kanak-kanak berpakaian sekolah berhimpun di hadapan Bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), di sini, pada Selasa.
Perhimpunan yang turut dihadiri beberapa pemimpin politik dari Parti Warisan, termasuk ADUN Tanjung Aru, Datuk Junz Wong itu dikatakan bertujuan untuk menyerahkan memorandum berkaitan nasib penduduk Kampung Pondo kepada Datuk Bandar Kota Kinabalu.
Kumpulan itu antara lain memegang poster meminta supaya tidak diusir dari penempatan berkenaan, selain menggesa pihak berkuasa mewartakan penempatan Kampung Pondo untuk dijadikan perkampungan sah di Pulau Gaya.
Kampung Pondo yang merangkumi penempatan atas air di Pulau Gaya dikenal pasti sebagai kawasan setinggan yang dijadual bakal diroboh menerusi operasi perobohan yang dijadual pada akhir November ini.
Sebelum ini, DBKK sudah mengeluarkan notis pengosongan kediaman dengan memberi tempoh 14 hari kepada penghuni penempatan itu untuk mengosongkan kediaman masing-masing.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang diminta mengulas tindakan perobohan itu menyatakan sedia menimbangkan untuk menangguhkan operasi berkenaan dengan mengambil kira anak-anak penduduk yang sedang menghadapi peperiksaan SPM.
Sementara itu, Ketua Wira Warisan, Khairuddin Daud yang turut hadir di hadapan Bangunan DBKK, menjelaskan kehadiran mereka sebagai tanda solidariti terhadap usaha penduduk dalam menyampaikan memorandum dan menyuarakan tuntutan mereka.
Katanya, memorandum itu bertujuan menjelaskan fakta sebenar mengenai Kampung Pondo dan menuntut agar kampung berkenaan diwartakan sebagai sebuah perkampungan yang sah.
Tegasnya, penduduk turut menggesa kerajaan agar melaksanakan tanggungjawab terhadap kebajikan mereka sebagai warganegara Malaysia.
“Susulan kenyataan rasmi Ketua Menteri Sabah kelmarin berhubung isu perobohan Kampung Pondo, Wira Warisan Sabah menegaskan bahawa kerajaan negeri seharusnya mempergiatkan usaha pewartaan tanah untuk rakyat Sabah, di samping memperbanyakkan pembinaan rumah kos rendah dan mampu milik.
“Tindakan merobohkan penempatan setinggan yang didiami warganegara sepatutnya dilaksanakan seiring dengan usaha menyediakan penempatan alternatif yang mencukupi kepada rakyat. Namun, Wira Warisan Sabah melihat apa yang berlaku pada hari ini adalah sebaliknya,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Selasa. – Info X