KOTA KINABALU: Kerajaan boleh menimbangkan untuk memindahkan penduduk Kampung Pondo, Pulau Gaya jika tindakan itu perlu atas kepentingan awam.
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, bagaimanapun berkata sebelum diminta mengosongkan kediaman, kerajaan perlu memastikan perumahan alternatif yang sesuai disediakan kepada mereka yang layak untuk penempatan semula.
“Saya memahami kebanyakan penduduk yang terjejas adalah warganegara Malaysia. Kerajaan ada tanggungjawab terhadap mereka.
“Bagi keluarga ini, berpindah rumah mempunyai kesan terhadap kehidupan mereka, persekolahan anak-anak dan masa depan mereka.
“Kerajaan perlu mendengar secara terus daripada penduduk sebelum membuat keputusan yang akan mengubah hidup mereka,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri untuk mewujudkan Jawatankuasa Kebajikan Penduduk dan Penempatan Semula Pulau Gaya dengan memasukkan wakil penduduk.
Katanya, tanggungjawab utama jawatankuasa itu seharusnya untuk memastikan keluarga yang layak mempunyai tempat yang sesuai untuk tinggal sebelum pemindahan dilaksanakan.
“Pendirian saya mengenai pendatang tanpa izin (PTI) di Sabah kekal tegas yang mana apabila pihak berkuasa mendapati seorang individu berada di Sabah secara haram, mereka mesti bertindak mengikut undang-undang, termasuk menghantar pulang.
“Sabah mesti menjaga bidang kuasanya dalam perkara berkaitan imigresen. Dalam menjalankan tugas itu, pihak berkuasa mesti menghormati hak asasi manusia dan maruah setiap individu,” katanya. – Info X