Kerajaan negeri perlu sedia insentif, elaun untuk doktor datang berkhidmat di Sabah – Warisan

November 25, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri digesa memainkan peranan lebih aktif melalui kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk menyediakan insentif tambahan, bantuan elaun dan kemudahan penginapan kepada doktor yang datang berkhidmat di negeri ini dari Semenanjung.

Menyuarakan gesaan itu, Ketua Biro Kesihatan Parti Warisan, Dr Istefan Koh, berkata tanggungjawab menyediakan kemudahan dan kebajikan pegawai yang ditempatkan di negeri ini tidak seharusnya diletakkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) semata-mata.

Jelasnya, walaupun pengurusan tenaga kerja perubatan adalah tanggungjawab utama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri tidak boleh hanya menunggu penyelesaian daripada KKM.

“Rakyat Sabah sendiri yang berdepan dengan kesan kekurangan tenaga perubatan, justeru kerajaan negeri perlu tampil sebagai rakan strategik dalam memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan terus terpelihara.

“Bagi penyelesaian sementara, kerajaan negeri boleh menimbangkan peruntukan khas untuk menyediakan elaun tambahan, bantuan kos sara hidup, penginapan dan kemudahan asas kepada pegawai perubatan dari Semenanjung yang menerima penempatan sementara di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Bagaimanapun, katanya bantuan melalui penempatan sementara tidak boleh dijadikan penyelesaian kekal terhadap masalah kekurangan doktor di Sabah.

Bagi tempoh jangka panjang, katanya Kerajaan Negeri perlu melabur lebih besar dalam pembangunan modal insan kesihatan tempatan.

“Usaha meningkatkan bilangan anak Sabah yang mendapat peluang melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan perlu diperkukuhkan melalui biasiswa, bantuan pendidikan dan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi.

“Pada masa yang sama, peluang latihan kepakaran dan laluan perkembangan kerjaya untuk doktor tempatan perlu diperluaskan supaya lebih ramai graduan perubatan Sabah dapat kembali berkhidmat dan membina kerjaya di negeri sendiri.

“Kita perlu melahirkan lebih ramai doktor tempatan dan pakar dalam pelbagai disiplin perubatan. Usaha ini mesti disertai dengan kemudahan hospital yang lebih baik, peluang latihan kepakaran dan persekitaran kerja yang mampu mengekalkan doktor di Sabah,” katanya.

Beliau menegaskan penyelesaian krisis itu memerlukan dua pendekatan serentak, iaitu KKM dan Kerajaan Negeri perlu bekerjasama menyediakan elaun, penginapan dan kemudahan yang sewajarnya kepada doktor yang dihantar bagi jangka pendek, manakala bagi jangka panjang, Sabah perlu memperkukuh keupayaan sendiri melalui peningkatan jumlah graduan perubatan tempatan dan pembangunan pakar dalam pelbagai bidang.

“Kita tidak boleh hanya bertanya berapa ramai doktor yang boleh dihantar ke Sabah. Kita juga perlu memastikan mereka mempunyai kemudahan dan sokongan yang sewajarnya untuk menjalankan tugas dengan baik.

“Saya berharap pihak KKM dan Kerajaan Negeri Sabah dapat memberikan penjelasan serta mengambil tindakan sewajarnya. Isu ini bukan sekadar berkaitan penempatan atau tuntutan elaun, tetapi melibatkan masa depan sistem kesihatan dan akses rakyat Sabah kepada perkhidmatan perubatan yang berkualiti,” katanya.

Tegasnya, kebajikan doktor yang dihantar untuk membantu di Sabah perlu dijaga menerusi peranan yang dimainkan Kerajaan Negeri dalam memastikan rakyatnya mendapat akses terhadap perkhidmatan kesihatan yang sewajarnya.

Langkah itu, katanya penting berikutan isu kekurangan pegawai perubatan di Sabah yang semakin membimbangkan sehingga memerlukan bantuan doktor dari Semenanjung melalui penempatan sementara.

Katanya, perkembangan terkini berkaitan keperluan pegawai perubatan untuk perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G) adalah antara gambaran cabaran yang sedang dihadapi sistem kesihatan negeri ini.

“Namun, masalah kekurangan doktor di Sabah bukan hanya melibatkan perkhidmatan O&G. Pelbagai jabatan dan disiplin perubatan turut berhadapan dengan kekurangan tenaga kerja, termasuk perubatan dalaman, pembedahan, kecemasan, pediatrik, anestesiologi dan bidang kepakaran lain.

“Keadaan ini akhirnya memberi kesan kepada rakyat Sabah melalui kelewatan rawatan, tempoh menunggu yang panjang serta keterbatasan akses kepada perkhidmatan kesihatan,” katanya.

Beliau menegaskan isu itu bukan soal pegawai perubatan di Semenanjung tidak mahu membantu rakan sejawat di Sabah, sebelum penempatan sementara dilaksanakan, KKM perlu memberikan penjelasan dan jaminan mengenai kebajikan pegawai yang akan dihantar.

Antara perkara utama yang perlu diperjelaskan, katanya ialah kemudahan penginapan, iaitu sama ada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menyediakan tempat tinggal sepanjang tempoh penempatan dan sekiranya disediakan, adakah ia percuma atau perlu ditanggung sendiri oleh pegawai perubatan.

“Bagaimana pula dengan kemudahan asas seperti perabot, bekalan elektrik, air dan akses internet.

“Selain itu, persoalan mengenai elaun dan tuntutan kewangan juga perlu diperjelaskan. Adakah pegawai yang diarahkan bertugas di luar stesen atau negeri akan diberikan elaun sewajarnya?

“Bagaimana pula dengan elaun makan, pengangkutan dan penginapan? Adakah tiket penerbangan pergi dan balik akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan atau pegawai perlu menggunakan wang sendiri terlebih dahulu sebelum membuat tuntutan,” soalnya.

Beliau berkata, sekiranya sistem tuntutan digunakan, pihak kementerian juga perlu menjelaskan tempoh pembayaran balik yang dijangkakan.

Katanya, KKM tidak boleh membiarkan pegawai perubatan terpaksa mengeluarkan wang sendiri sehingga beribu-ribu ringgit untuk menampung kos perjalanan dan kehidupan sepanjang tempoh penempatan, kemudian terpaksa menunggu berbulan-bulan untuk mendapatkan bayaran balik. – Info X