SOOK: Jumlah penduduk terjejas akibat banjir di Sook meningkat kepada 153 orang daripada 42 ketua isi rumah setakat jam 12 tengah hari ini, berbanding 144 orang daripada 40 ketua isi rumah pada 11.59 malam tadi.
Peningkatan itu direkodkan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS), iaitu Dewan Serbaguna SLDB, Kampung Dalit Gana, yang dibuka sejak jam 11 pagi semalam.
Berdasarkan perkembangan harian bencana negeri Sabah yang dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, jumlah mangsa meningkat secara berperingkat sejak PPS berkenaan mula beroperasi.
Pada jam 8 pagi tadi, seramai 150 penduduk daripada 41 ketua isi rumah direkodkan terjejas sebelum meningkat kepada 153 orang daripada 42 ketua isi rumah pada tengah hari.
Daripada jumlah keseluruhan mangsa yang ditempatkan di PPS berkenaan, 44 adalah lelaki dewasa atau warga emas, manakala 46 perempuan dewasa atau warga emas.
Mangsa turut membabitkan 26 kanak-kanak lelaki dan 37 kanak-kanak perempuan.
Bagaimanapun, tiada kematian dilaporkan setakat ini, manakala tiada rekod penduduk terjejas yang terkepung atau berada di luar PPS.
Secara keseluruhan, banjir berkenaan membabitkan satu daerah iaitu Sook, dengan tiga kampung terlibat dan sebuah PPS masih beroperasi.
Data berkenaan adalah berdasarkan laporan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Sook setakat jam 12 tengah hari, 25 November 2026.-Info X