TENOM: Seorang lelaki warga emas yang dipercayai dalam perjalanan pulang selepas berkebun maut selepas digilis kereta api di landasan kereta api, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 63 tahun ditemui tersepit di bawah gerabak kereta api yang dalam perjalanan dari Beaufort menuju ke Tenom.
Mangsa dipercayai menggunakan troli kayu buatan sendiri untuk bergerak melalui landasan kereta api dari Kampung Pangi menuju ke Pekan Tenom dan turut dilaporkan mempunyai masalah pendengaran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mudi Pengiran berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis berhubung kejadian itu pada jam 1.20 petang.
Katanya, seramai enam anggota bersama jentera dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati seorang lelaki berada di bawah gerabak kereta api sebelum kerja mengeluarkan mangsa dijalankan.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dan dipindahkan ke tempat selamat menggunakan pengusung sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian,” katanya.

Mudi berkata, pasukan bomba turut berdepan kesukaran untuk sampai ke lokasi kejadian berikutan akses yang terhad dan tidak dapat dilalui jentera bomba.
Katanya, anggota bomba terpaksa mendapatkan bantuan penduduk kampung yang menyediakan troli bermotor buatan sendiri untuk meneruskan perjalanan ke lokasi kejadian.
“Mangsa yang mengalami patah tulang kaki dan badan serta kecederaan di kepala kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.04 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian,” katanya. – Info X